BAU, 2 Ogos: Kawalan ketat di kawasan sempadan terus diperkasakan apabila Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup lebih 10 tan produk daging sejuk beku bernilai RM354,320 ke Indonesia dalam operasi di Serikin, petang semalam.
Rampasan itu dilakukan pasukan operasi Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) di bawah Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Bgd) menerusi Op Keris Parang di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan Cawangan Risik Markas 1 Divisyen, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, anggota operasi mengesan sebuah lori putih yang ditutupi kanvas hijau bergerak dari laluan haram Kampung Sebobok menuju ke sempadan Malaysia-Indonesia sebelum menahannya di kawasan Ladang Sawit Rahman, Kampung Sebobok, kira-kira 900 meter dari sempadan.
“Pemeriksaan mendapati lori itu dipandu seorang lelaki warga tempatan yang membawa 511 karton produk daging sejuk beku dengan anggaran berat keseluruhan 10,220 kilogram.
“Bagaimanapun, pemandu berkenaan gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta dokumen sah berkaitan muatan yang dibawa,” kata kenyataan itu hari ini.
Rampasan melibatkan 320 karton Allana Rumpsteak dianggarkan seberat 6,400 kilogram bernilai RM147,200, 170 karton Ayam Madu Chicken Frank seberat 3,400 kilogram bernilai RM91,800, serta 21 karton Australian E.C. Throsby Beef Tripe seberat 420 kilogram bernilai RM19,320.
Turut dirampas sebuah lori Mitsubishi Fuso keluaran 2020 bernilai RM95,000 dan sebuah telefon pintar Apple bernilai RM1,000.
“Suspek bersama semua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau sebelum kes dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Daerah Bau untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
“TDM menegaskan akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan persempadanan bagi memastikan sempadan negara kekal selamat daripada aktiviti jenayah rentas sempadan,” ujar kenyataan itu lagi.
Kredit sumber: TV Sarawak
