KOTA KINABALU, 3 Ogos – Ketiadaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan mula menjadi persoalan apabila beberapa pemimpin UMNO Sabah mempersoalkan komitmennya terhadap parti.
Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing berkata, kemenangan BN di kedua-dua negeri membuktikan kesungguhan seluruh jentera parti yang berganding bahu sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian.
Menurutnya, pemimpin BN dari seluruh negara hadir bagi memperkukuhkan gerak kerja parti dan membantu calon masing-masing berdepan saingan, termasuk menentang Pakatan Harapan (PH) yang menjadi rakan kerjasama BN di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Namun, beliau mendakwa Arthur tidak kelihatan bersama jentera parti sepanjang tempoh berkempen walaupun memegang jawatan sebagai Pengerusi BN Sabah.
“Dua pilihan raya negeri telah selesai dengan kemenangan BN, namun Arthur langsung tidak muncul untuk membantu parti sepanjang kempen.
“Beliau dilantik sebagai Pengerusi BN Sabah, tetapi tidak turun membantu jentera. Mungkin beliau mahu menjaga kedudukannya dalam Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan.
Ghazalie berkata, seorang pemimpin yang menerajui BN Sabah sepatutnya menunjukkan komitmen dan keberanian untuk mempertahankan kepentingan parti walaupun perlu berhadapan dengan situasi politik yang melibatkan rakan kerjasama dalam kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya mempertimbangkan perubahan kepimpinan BN Sabah sekiranya Arthur terus gagal memainkan peranan sewajarnya.
Menurut beliau, pertandingan pilihan raya merupakan medan persaingan politik, namun selepas proses itu berakhir semua pihak tetap kembali bekerjasama demi kepentingan rakyat.
“Pilihan raya ialah medan kita bertanding. Apabila selesai, kita kembali bekerjasama untuk memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.
“Tetapi jika ada pemimpin yang tidak bersama parti ketika berkempen walaupun mengetahui tanggungjawabnya, maka lebih baik diberikan kepada individu yang benar-benar berani memperjuangkan parti, bukannya sekadar mempertahankan jawatan,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa BN memerlukan kepimpinan yang lebih tegas menjelang persiapan menghadapi pilihan raya akan datang, termasuk kemungkinan berdepan PH sekali lagi di Melaka.
Katanya, BN Sabah memerlukan seorang pengerusi yang bukan sahaja mampu menyusun strategi dan menggerakkan jentera parti, malah berani tampil mempertahankan parti tanpa mengira kedudukan politik semasa.
“Kami mahukan pemimpin yang berani berdepan sesiapa sahaja dalam gelanggang politik, bukannya menghilangkan diri kerana bimbang kehilangan jawatan dalam kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas ketiadaan Arthur sepanjang kempen PRN Johor dan Negeri Sembilan yang berakhir dengan kemenangan BN di kedua-dua negeri. – DAKWAT RAKYAT POST
