Johor Bahru: Seramai 37 pekerja asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen selepas serbuan di restoran yang terkenal dengan hidangan makanan laut segar di Taman Sentosa di sini, semalam.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, semua yang ditahan dalam Ops Selera bermula 12 tengah hari itu berusia antara 19 hingga 49 tahun.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan, operasi dijalankan ke atas premis yang dipercayai melindungi dan menggajikan pekerja warga asing secara haram.
“Kita juga menumpukan kepada pemeriksaan dokumen pengenalan diri, permit kerja warga asing yang melanggar syarat pas.
“Pemeriksaan turut dijalankan di kawasan hostel pekerja yang terletak di bahagian belakang premis yang dijadikan sebagai tempat penginapan pekerja,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mohd Rusdi berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki Myanmar, seorang lelaki Vietnam, seorang lelaki Bangladesh dan 29 wanita Myanmar.
“Mereka ini bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak, manakala warga tempatan yang dipercayai bekerja sebagai pengurus premis ditahan untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Mohd Rusdi berkata, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.
Pada masa sama, katanya, tiga Borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
Orang ramai dialu-alukan untuk berkongsi sebarang maklumat berkait kesalahan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) serta pemerdagangan orang dan penyeludupan migran ke negara ini.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada: Ogos 8, 2026 @ 2:48pm
