KUALA LUMPUR: Kematangan yang hadir seiring pertambahan usia bukan sahaja mengubah perjalanan kerjaya komposer dan penyanyi, Faizal Tahir, malah turut membentuk semula cara dia melihat kehidupan serta mengurus keutamaan.
Menurut Faizal, antara perubahan paling ketara yang dilakukannya ialah melepaskan hobi mengumpul gitar, sesuatu yang pernah menjadi kepuasan peribadi suatu ketika dahulu.
Katanya, jika dahulu dia mudah memenuhi keinginan dengan membeli sesuatu yang diminati, kini setiap keputusan dibuat dengan mempertimbangkan manfaat kepada keluarga serta orang di sekeliling.
“Hobi antara perkara yang banyak saya lepaskan. Kadang-kadang kita habiskan duit untuk hobi tetapi apabila difikirkan semula, apa yang anak dan isteri saya dapat? Apa manfaat kepada orang sekeliling? Saya mula bertanya soalan itu kepada diri sendiri setiap kali hendak membeli sesuatu.
“Saya memang minat gitar sampai pernah ada 60 gitar. Tetapi buat apa saya perlukan 60 gitar? Nilainya sampai ratusan ribu ringgit, sedangkan ramai lagi orang susah di luar sana. Bila fikir semula, ia satu pembaziran. Jadi saya lepaskan hobi itu. Pada saya sekarang, yang penting ialah keperluan. Hobi bukan satu keperluan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi penyanyi lagu Assalamualaikum itu, perubahan tersebut bukan berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya lahir daripada pengalaman hidup dan kesilapan yang pernah dilalui.
Malah, Faizal mengakui dia tidak bersetuju sepenuhnya dengan ungkapan bahawa usia hanyalah sekadar angka kerana baginya, pertambahan usia memainkan peranan penting dalam membentuk kematangan seseorang.
“Usia memang memainkan peranan. Orang selalu kata usia hanyalah angka, tetapi sebenarnya angka itu penting untuk menyedarkan diri kita. Setiap orang matang dalam tempoh yang berbeza dan belajar daripada kesilapan dengan cara yang berbeza.
“Saya rasa saya sampai ke tahap ini kerana saya banyak melakukan kesilapan. Tetapi yang penting ialah bagaimana kita menilai kesilapan itu. Ada orang apabila melakukan kesilapan terus hilang semangat, ada juga yang tidak sedar lalu mengulanginya lagi. Pada saya, kesedaran itu sangat penting kerana daripada situlah kita berubah menjadi insan yang lebih baik,” ujarnya.
Mengulas mengenai gaya hidup generasi muda hari ini, Faizal berkata, dia memahami kecenderungan mereka mengejar barangan yang diminati kerana pernah melalui fasa yang sama.
“Saya tengok orang muda hari ini mungkin suka kumpul kasut mahal atau beg tangan. Saya tidak boleh marah sebab saya pun pernah berada dalam fasa begitu. Kalau boleh memang kita mahu beritahu, jangan jadi macam saya kerana nanti akan menyesal. Tetapi pada masa yang sama, saya faham orang muda juga mahu melalui dan meneroka fasa mereka sendiri sebelum benar-benar belajar daripada pengalaman hidup,” katanya.
Kredit sumber: Utusan Malaysia/Disiarkan pada 7 Ogos 2026, 11:00 am
