KALABAKAN: Tugu Peringatan Kalabakan perlu terus dipelihara sebagai lambang penghormatan kepada anggota keselamatan yang terkorban ketika mempertahankan negara, selain memastikan sejarah perjuangan mereka tidak dilupakan oleh generasi akan datang.
Setiausaha UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, sambutan Bulan Kebangsaan wajar dimanfaatkan untuk mengingat kembali sejarah perjuangan serta pengorbanan anggota keselamatan negara, termasuk menerusi usaha menjaga dan memelihara Tugu Peringatan Kalabakan.
Menurut beliau, program gotong-royong membersihkan kawasan tugu bukan hanya berkaitan aspek kebersihan, sebaliknya membawa makna lebih besar sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang gugur demi mempertahankan kedaulatan negara.
Katanya, penyertaan masyarakat dalam aktiviti berkenaan turut memperlihatkan bahawa semangat perpaduan dan budaya gotong-royong masih menjadi sebahagian daripada kehidupan komuniti di Kalabakan.
“Apabila kita bersama-sama berganding tenaga, sesuatu pekerjaan yang berat dapat diselesaikan dengan lebih mudah, selain mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
“Inilah semangat sebenar komuniti Kalabakan apabila kita berkumpul, saling bertanya khabar, bertukar cerita serta berkongsi pandangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Membersihkan Tugu Peringatan Kalabakan anjuran bersama Persatuan Komuniti Tidung Kalabakan (PKTK) yang berlangsung di sini, Sabtu lalu.
Program berkenaan turut mendapat penyertaan Ahli Jawatankuasa (AJK) dan ahli PKTK, AJK UMNO Bahagian Kalabakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kalabakan serta penduduk setempat.
Samasuddin berkata, usaha memastikan tugu berkenaan sentiasa terpelihara amat penting supaya sejarah Peristiwa Kalabakan terus diingati dan difahami, khususnya oleh generasi muda.
“Tugu ini adalah lambang keberanian dan pengorbanan perwira negara. Ia mengingatkan kita bahawa keamanan yang kita kecapi hari ini dibayar dengan pengorbanan yang besar.
“Memastikan kawasan ini bersih dan terjaga adalah satu daripada cara kita menghargai jasa para pahlawan serta mempertahankan warisan sejarah Kalabakan,” katanya.
Tugu Peringatan Kalabakan didirikan bagi memperingati Peristiwa Kalabakan yang berlaku pada 29 Disember 1963 ketika kem tentera Malaysia diserang dalam tempoh Konfrontasi Malaysia-Indonesia.
Dalam kejadian itu, seorang pegawai, Mejar Zainal Abidin Haji Yaacob, bersama tujuh anggota Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja terkorban, manakala 18 lagi anggota mengalami kecederaan.
Menurut Samasuddin, sejarah pengorbanan tersebut perlu terus diceritakan dan disampaikan kepada golongan muda agar semangat patriotisme, keberanian serta kecintaan terhadap tanah air dapat terus disemai.
Beliau turut berharap aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dapat diteruskan secara berterusan dan tidak hanya dilaksanakan ketika sambutan Bulan Kebangsaan.
“Semoga budaya gotong-royong terus menjadi amalan masyarakat kita. Kita sama-sama menjaga kebersihan, memelihara sejarah dan pada masa yang sama memperkukuhkan hubungan persaudaraan,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
