ISTANBUL: Industri pertahanan dan keupayaan ketenteraan maritim negara mencatat satu lagi perkembangan penting apabila kapal ketiga Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilancarkan secara rasmi di Istanbul Shipyard, Türkiye, kelmarin
Kapal berkenaan dinamakan TUNKU OSMAN JEWA dengan nombor pennant 143, sempena memperingati jasa dan legasi Almarhum Jeneral Tan Sri Tunku Osman bin Tunku Mohammad Jewa.
Majlis Penamaan dan Pelancaran itu disaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, manakala upacara berkenaan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah, Sultanah Maliha binti Almarhum Tengku Ariff selaku Royal Sponsor.
Turut berangkat mengiringi baginda berdua ialah kerabat diraja Negeri Kedah.
Delegasi Kementerian Pertahanan pula diketuai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak bin Sulaiman.
Turut hadir dalam delegasi berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datin Roszanina binti Wahab dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Ts. Badarudin bin Taha yang mewakili Panglima Tentera Laut.
Pemilihan nama TUNKU OSMAN JEWA menjadi penghormatan negara kepada Almarhum Jeneral Tan Sri Tunku Osman bin Tunku Mohammad Jewa, yang merupakan kerabat diraja Kedah serta individu pertama daripada kalangan anak watan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera.
Pelancaran kapal ketiga itu sekali gus melengkapkan keseluruhan tiga siri pelancaran kapal LMSB2 yang dibina di Istanbul Shipyard.
Tiga aset tempur strategik TLDM itu kini terdiri daripada TUNKU LAKSAMANA ABDUL JALIL dengan nombor pennant 141, RAJA LAUT (142) dan TUNKU OSMAN JEWA (143).
Kesemua kapal tersebut kini akan memasuki fasa seterusnya yang merangkumi integrasi sistem penderia, pemasangan sistem peperangan serta persenjataan moden.
Ia turut akan disusuli dengan pelaksanaan penilaian ujian pelabuhan atau Harbour Acceptance Trials (HAT) dan ujian laut, iaitu Sea Acceptance Trials (SAT).
Kemajuan pembinaan yang berjalan mengikut jadual itu meletakkan ketiga-tiga kapal berkenaan pada landasan untuk diserahkan secara rasmi kepada TLDM pada penghujung tahun depan.
Pelancaran tiga kapal LMSB2 tersebut mencerminkan perkembangan berterusan keupayaan pertahanan maritim negara, khususnya dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan aset tempur TLDM.
Three launched. Now, we deliver. – DAKWAT RAKYAT POST
Sumber rujukan: Facebook Tentera Laut Diraja Malaysia
