KOTA MARUDU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah mengesan sebuah premis yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan dan mengumpul petrol serta diesel bersubsidi dalam operasi di Kampung Tangkol, Jalan Marak Parak, di sini, petang semalam.
Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 4 petang itu merupakan tindakan susulan hasil maklumat dan risikan berkaitan kes tangkapan serta rampasan terdahulu di Pitas.
Pemeriksaan di bahagian belakang premis berkenaan menemukan 33 tong drum berkapasiti 200 liter setiap satu.
Daripada jumlah itu, 10 tong dipercayai mengandungi petrol manakala 23 tong lagi disyaki berisi diesel.
Seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai pemilik premis turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen, lesen, permit atau kebenaran sah bagi penyimpanan bahan api berkenaan.
Kesemua barang kes dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM33,000.
Kes tersebut kini disiasat mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam kegiatan menyeleweng atau menyalahgunakan barangan bersubsidi kerajaan.
Menurut beliau, subsidi yang disediakan kerajaan sepatutnya dinikmati rakyat dan tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiatkan risikan dan operasi susulan bagi mengesan rantaian kegiatan penyelewengan barang kawalan,” katanya.
Beliau berkata, tindakan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan atau diseleweng untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.
Operasi berkenaan turut menunjukkan hasil risikan dan tindakan susulan PPM W4 Sabah dalam membanteras kegiatan penyimpanan serta penyelewengan bahan api bersubsidi di kawasan berisiko.
PPM W4 Sabah menegaskan usaha membanteras kegiatan seumpama itu akan diteruskan bagi memastikan ketirisan subsidi kerajaan dapat dibendung dan kepentingan rakyat terus dilindungi. – DAKWAT RAKYAT POST
