SINGAPURA: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 11 Ogos lalu kerana disyaki memiliki pas pekerja palsu dan cop rasmi yang dipercayai mahu digunakan untuk melakukan penipuan.
Lelaki berusia 23 tahun itu didapati memiliki alat pengecop yang tertera logo Mahkamah Agung dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Singapura, lapor Straits Times Singapura.
Ia ditemui ketika dia diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut oleh pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di dewan bas ketibaan pusat pemeriksaan berkenaan.
Beberapa pas pekerja palsu yang memaparkan gambarnya turut ditemui pada lelaki terbabit.
Menurut polis, siasatan mendapati lelaki itu tidak pernah mempunyai rekod pekerjaan dengan mana-mana pertubuhan atau majikan pada nama serta pas ditemui dalam simpanannya.
“Pas palsu dan alat pengecop yang kelihatan seperti barangan rasmi adalah antara taktik yang lazimnya digunakan penipu bagi meyakinkan mangsa bahawa mereka berurusan dengan wakil yang sah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Lelaki itu didakwa di mahkamah hari ini atas kesalahan membuat atau memiliki alat pemalsuan dengan niat melakukan pemalsuan.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.
Menurut statistik tahunan penipuan dan jenayah siber polis, kes penipuan penyamaran sebagai pegawai kerajaan meningkat lebih dua kali ganda kepada 3,363 kes pada 2025 berbanding 1,504 kes pada 2024.
Jumlah kerugian akibat jenis penipuan itu turut meningkat 60.5 peratus kepada kira-kira SGD$243 juta (RM776 juta), sekali gus menjadi jenis penipuan kedua paling banyak dengan jumlah kerugian tertinggi pada 2025.
Secara keseluruhan, Singapura mengalami kerugian lebih SGD$4 bilion (RM12.8 bilion) akibat penipuan sejak 2019, dengan jumlah kerugian mencecah SGD$913.1 juta (RM2.9 bilion) pada 2025.
Daripada jumlah itu, polis berjaya mendapatkan semula kira-kira SGD$140.5 juta (RM448.4 juta).
Dalam kenyataan semalam, polis menasihatkan orang ramai supaya mengemukakan sebanyak mungkin soalan bagi memahami peluang pelaburan yang ditawarkan.
Jika syarikat berkenaan tidak mampu atau enggan menjawab soalan dikemukakan, orang ramai dinasihatkan menganggapnya sebagai tanda amaran.
Orang ramai juga digesa membuat semakan terhadap syarikat, pemilik, pengarah dan pihak pengurusan bagi memastikan peluang pelaburan berkenaan adalah tulen.
Selain itu, kelayakan syarikat serta wakilnya perlu disahkan menggunakan sumber yang tersedia, termasuk Direktori Institusi Kewangan, Daftar Wakil dan Senarai Amaran Pelabur di laman sesawang Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Orang ramai turut dinasihatkan memastikan sebarang aplikasi mudah alih yang dimuat turun adalah sah dan tersedia di gedung aplikasi rasmi.
Semakan terhadap ulasan serta penarafan pengguna bagi sesuatu aplikasi juga perlu dilakukan sebelum memuat turunnya, walaupun aplikasi berkenaan kelihatan sah dan tersedia di gedung aplikasi rasmi.
Ketulenan perintah mahkamah pula boleh disahkan menerusi portal ‘Authentic Court Orders’ menggunakan kod QR unik atau kod akses yang tertera pada perintah mahkamah.
Selain itu, ketulenan dokumen mahkamah juga boleh disahkan melalui saluran hubungan rasmi yang disenaraikan di laman sesawang Singapore Courts.
Kredit sumber: AGENSI/Berita Harian/Disiarkan pada Ogos 13, 2026 @ 12:29pm
