Apabila menyebut tentang taman hijau di bandar, kebanyakan daripada kita mungkin membayangkan kawasan untuk berjoging, bersenam, membawa anak bermain atau berehat pada hujung minggu. Namun, fungsi ruang terbuka hijau sebenarnya jauh lebih besar daripada sekadar menyediakan tempat rekreasi.
Di tengah-tengah peningkatan pembangunan bandar, kesesakan lalu lintas dan pencemaran, kawasan hijau boleh menjadi sebahagian daripada sistem pertahanan semula jadi sesebuah bandar.
Pokok, tumbuhan, tanah dan elemen semula jadi dalam taman bandar berpotensi membantu menyerap karbon dioksida, mengurangkan pencemaran udara, menjadi penghadang bunyi serta membantu pengurusan air permukaan.
Persoalannya, adakah taman-taman hijau yang kita bangunkan sekarang benar-benar mampu menjalankan fungsi tersebut?
Kajian yang dijalankan terhadap pengguna taman di Melaka, Malaysia dan Padang, Indonesia menunjukkan bahawa ruang terbuka hijau sememangnya mempunyai keupayaan membantu mengurangkan pencemaran bandar. Namun, tahap keberkesanannya tidak sama bagi setiap jenis pencemaran dan juga tidak sama antara satu kawasan dengan kawasan yang lain.
Kajian tersebut melibatkan empat kawasan hijau bandar iaitu Taman Rekreasi Bukit Serindit dan Taman Bunga Merdeka di Melaka serta RTH Imam Bonjol dan Taman Nanggalo di Padang.
Antara dapatan yang paling jelas ialah fungsi ruang hijau dalam membantu mengurangkan pencemaran udara.
Daripada 10 pengguna taman yang ditemu bual, sembilan melihat ruang hijau sebagai mempunyai keupayaan yang kuat dalam membantu mengurangkan pencemaran udara secara umum.
Di Padang, kesemua lima informan memberikan pandangan positif terhadap kemampuan kawasan hijau yang dikaji untuk menyumbang kepada udara bandar yang lebih bersih.
Pokok dan tumbuh-tumbuhan dilihat sebagai antara mekanisme utama yang membantu mengurangkan kesan pencemaran daripada aktiviti bandar, khususnya pelepasan daripada kenderaan dan karbon dioksida.
Namun, satu perkara penting perlu difahami.
Taman hijau tidak boleh menghapuskan pencemaran secara ajaib.
Jika jumlah kenderaan terlalu banyak, kawasan hijau terlalu kecil atau bilangan pokok tidak mencukupi, kemampuan taman untuk menapis pencemaran juga mempunyai had.
Dalam konteks jerebu misalnya, pengguna taman di kedua-dua bandar mengakui terdapat manfaat daripada pokok-pokok besar dan kawasan yang teduh. Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka turut berpandangan bahawa jumlah pokok dan keluasan kawasan hijau masih belum mencukupi berbanding skala pencemaran yang berlaku.
Ini memberikan satu mesej penting kepada pihak yang merancang bandar.
Mewujudkan taman sahaja belum mencukupi.
Kita juga perlu bertanya: Berapa luas taman itu? Apakah jenis pokok yang ditanam? Sejauh mana kepadatan vegetasinya? Di manakah taman itu ditempatkan? Adakah ia berhampiran kawasan yang benar-benar memerlukan perlindungan daripada pencemaran?
Kajian tersebut mengenal pasti sekurang-kurangnya lima perkara yang mempengaruhi keberkesanan ruang terbuka hijau.
Pertama ialah saiz taman.
Kawasan hijau yang lebih besar mempunyai potensi lebih baik untuk bertindak sebagai zon penampan, termasuk membantu mengurangkan gangguan bunyi daripada persekitaran bandar. Sebaliknya, taman yang terlalu kecil mungkin tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk memberikan kesan alam sekitar yang ketara.
Kedua ialah jenis dan kepadatan tumbuh-tumbuhan.
Pokok matang dan vegetasi yang lebih padat dikaitkan dengan keupayaan lebih baik dalam membantu penapisan udara, penyerapan karbon serta mengurangkan bunyi.
Ini bermaksud pembangunan taman tidak seharusnya terlalu tertumpu kepada aspek kosmetik semata-mata.
Taman yang cantik dalam gambar belum tentu merupakan taman yang paling berfungsi dari sudut ekologi.
Ketiga ialah lokasi.
Taman yang berhampiran jalan raya utama mempunyai peranan penting kerana kawasan berkenaan terdedah kepada pelepasan kenderaan. Namun terdapat satu paradoks: apabila trafik terlalu tinggi, pencemaran yang dihasilkan juga boleh melebihi kemampuan kawasan hijau tersebut untuk menanganinya.
Oleh sebab itu, kawasan hijau di sepanjang koridor trafik perlu dirancang sebagai sebahagian daripada sistem penampan hijau yang lebih menyeluruh dan bukannya sekadar beberapa batang pokok di bahu jalan.
Keempat ialah elemen berkaitan air.
Dapatan di Melaka menunjukkan persepsi lebih positif terhadap peranan taman dalam membantu pengurusan air dan pencemaran air berbanding Padang. Antara faktor yang membezakannya ialah kewujudan elemen air dan interaksi antara tumbuhan, tanah serta aliran air permukaan.
Ini menunjukkan perancangan ruang hijau juga perlu mengambil kira konsep reka bentuk sensitif air.
Kelima, dan mungkin paling penting, ialah tadbir urus.
Ruang hijau yang baik memerlukan lebih daripada pokok dan tanah. Ia memerlukan pengurusan yang jelas, pemantauan berterusan serta koordinasi antara agensi.
Jika tanggungjawab menjaga ruang hijau terpecah antara terlalu banyak institusi tanpa koordinasi yang baik, potensi ekologinya sukar untuk dimaksimumkan.
Di sinilah pihak berkuasa tempatan mempunyai peranan besar.
Sudah tiba masanya ukuran kejayaan pembangunan taman bandar tidak hanya berdasarkan berapa banyak taman yang diwujudkan, tetapi juga sejauh mana taman tersebut benar-benar berfungsi kepada alam sekitar dan penduduk bandar.
Sebuah bandar boleh mempunyai banyak taman. Namun, jika taman-taman tersebut terlalu kecil, kurang pokok matang, terputus antara satu sama lain atau tidak ditempatkan secara strategik, manfaat ekologinya mungkin terbatas.
Dasar pembangunan bandar hijau perlu bergerak daripada pendekatan berorientasikan kuantiti kepada pendekatan berorientasikan fungsi.
Antara perkara yang boleh diberi perhatian ialah menyediakan keluasan hijau yang sesuai, meningkatkan kepadatan dan kesesuaian vegetasi, memperkukuh zon penampan hijau di kawasan trafik tinggi, mengintegrasikan elemen pengurusan air serta memperkemas koordinasi antara agensi yang menguruskan ruang hijau.
Pada masa yang sama, suara masyarakat juga tidak seharusnya diketepikan.
Pengguna tetap taman ialah kelompok yang berhadapan secara langsung dengan keadaan sebenar ruang tersebut. Mereka mengetahui kawasan yang terlalu panas, terlalu bising, kurang teduhan atau tidak diselenggara dengan baik.
Pengalaman pengguna boleh menjadi satu lagi sumber maklumat kepada pihak berkuasa tempatan dalam menilai sama ada sesuatu taman benar-benar berfungsi sebagaimana yang dirancang.
Kajian di Melaka dan Padang ini tidak bermaksud bahawa ruang hijau mampu menyelesaikan semua masalah pencemaran bandar. Kajian tersebut sendiri mempunyai batasan kerana melibatkan 10 informan dan berasaskan persepsi pengguna, bukannya pengukuran langsung tahap pencemaran udara, air atau bunyi.
Namun, dapatan tersebut memberikan satu isyarat penting.
Ruang hijau tidak sepatutnya dianggap sebagai ruang lebihan selepas pembangunan selesai.
Sebaliknya, ia perlu dirancang sejak awal sebagai sebahagian daripada infrastruktur penting bandar.
Kita sering membincangkan jalan raya, longkang, sistem pengangkutan dan bangunan sebagai infrastruktur bandar. Sudah tiba masanya pokok, taman, koridor hijau dan ekosistem bandar turut diberikan kedudukan yang sama penting.
Dalam bandar yang semakin padat, setiap ruang hijau mempunyai tugas.
Ia bukan sekadar tempat manusia berehat.
Ia juga sebahagian daripada sistem yang membantu bandar bernafas.
Oleh: Dr. Nabilaa Mohamed
Pensyarah Kanan (Pengurusan Awam)
Universiti Utara Malaysia, Kampus Kuala Lumpur
