KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh melebihi RM4,600 satu tan pada September, disokong asas bekalan yang semakin ketat serta gangguan geopolitik yang menjejaskan aliran perdagangan minyak sayuran global.
Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 9.4 peratus bulan ke bulan kepada 1.79 juta tan pada Julai 2026, bertambah sebanyak 154,000 tan berbanding sebelumnya.
Bagaimanapun, katanya pengeluaran pada Julai masih lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencatatkan penurunan tahun ke tahun untuk bulan kelima berturut-turut sejak Mac 2026.
“Prestasi eksport turut mengukuh dengan penghantaran minyak sawit meningkat 14.5 peratus bulan ke bulan kepada 1.39 juta tan pada Julai.
“Peningkatan itu didorong terutamanya dengan pembelian lebih kukuh dari India menjelang perayaan Diwali, selain permintaan yang terus kukuh dari rantau Sub-Sahara Afrika,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, stok minyak sawit meningkat kepada 2.62 juta tan pada Julai, namun peningkatan itu tidak dilihat sebagai kebimbangan besar berikutan permintaan biodiesel yang kukuh dan aktiviti pemuatan hadapan di Indonesia yang mengekalkan stok minyak sawit negara itu pada paras relatif rendah.
MPOC berkata, kenaikan harga susulan penerbitan data penawaran dan permintaan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 10 Ogos lalu turut mengukuhkan pandangan bahawa paras stok minyak sawit semasa tidak berlebihan, walaupun bekalan keseluruhan masih selesa buat masa ini.
“Pasaran minyak sayuran global terus disokong permintaan biofuel dan ketidaktentuan geopolitik pada Ogos, dengan minyak sawit mencatatkan kenaikan tertinggi.
“Harga MSM Malaysia meningkat 3.9 peratus sepanjang bulan ini, berbanding kenaikan 2.7 peratus bagi minyak bunga matahari dan 1.1 peratus bagi minyak kacang soya di Argentina, manakala harga minyak sesawi di Eropah susut kecil 0.8 peratus,” katanya.
MPOC berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia lazimnya memuncak pada September atau Oktober sebelum menurun pada suku keempat, manakala pertumbuhan pengeluaran dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026 sebahagian besarnya disokong peningkatan kadar perahan minyak (OER) daripada tandan buah segar (FFB).
Katanya, OER Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 berada jauh melebihi purata 10 tahun, disokong keadaan hujan yang baik enam bulan sebelumnya.
“Bagaimanapun, OER jatuh di bawah purata 10 tahun pada Jun dan Julai 2026 dan dijangka kekal di bawah purata bagi baki tahun ini,” katanya.
Sehubungan itu, MPOC menjangkakan pengeluaran minyak sawit merosot tahun ke tahun pada suku keempat 2026 apabila pengeluaran memasuki trend penurunan bermusim dan OER kembali susut daripada paras tinggi yang direkodkan antara Januari hingga Mei.
Keadaan itu dijangka mengetatkan bekalan menjelang penghujung tahun.
Dalam pada itu, gangguan geopolitik yang berterusan turut mengubah aliran perdagangan minyak sayuran global apabila laluan perkapalan melalui Selat Bab al-Mandeb dan Laut Merah terganggu, manakala trafik melalui Selat Hormuz menurun susulan tamatnya gencatan senjata 60 hari antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada 17 Ogos lalu.
Operasi di beberapa pelabuhan utama dan loji penghancuran di rantau Laut Hitam turut digantung susulan peningkatan semula konflik Russia-Ukraine, sekali gus menambah ketidakpastian terhadap ketersediaan eksport minyak bunga matahari bagi tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
MPOC berkata, gangguan berkenaan mengalihkan permintaan minyak sayuran di pasaran pengimport utama seperti India kepada minyak sawit, khususnya menjelang musim perayaan.
“Trend ini ketara pada Julai apabila import minyak sawit India meningkat 49.8 peratus bulan ke bulan dan import minyak kacang soya meningkat 31 peratus, manakala import minyak bunga matahari hanya meningkat 3.6 peratus susulan bekalan yang lebih ketat,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian/Disiarkan pada 19 Ogos 2026
