KOTA KINABALU, Majlis Belia Sabah (MBS) menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan harga tiket penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, khususnya pada musim puncak, yang disifatkan bukan lagi sekadar isu perjalanan, sebaliknya turut memberi kesan kepada akses pendidikan, peluang ekonomi, mobiliti sosial dan hubungan kekeluargaan rakyat Sabah.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan, berkata bagi rakyat Sabah, penerbangan bukan satu kemewahan tetapi keperluan memandangkan tiada alternatif jalan raya atau kereta api yang menghubungkan Sabah dengan Semenanjung.
“Bagi rakyat Sabah, kapal terbang bukan kemewahan, ia adalah keperluan.
“Apabila tambang terlalu tinggi, mahasiswa mungkin terpaksa menangguhkan perjalanan kembali ke kampus, usahawan muda kehilangan peluang, atlet terpaksa memikirkan semula penyertaan dalam pertandingan dan ibu bapa pula perlu mencari wang tambahan hanya untuk membeli tiket anak.
“Lebih menyedihkan apabila ada anak Sabah di Semenanjung menerima berita kecemasan atau kematian ahli keluarga, tetapi perkara pertama yang terpaksa difikirkan ialah mampukah saya membeli tiket untuk pulang?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Abqaree, jarak tidak sepatutnya menjadi beban atau hukuman kepada rakyat Sabah, terutama apabila kos mobiliti yang tinggi turut memberi kesan terhadap pembangunan negeri.
Katanya, rakyat Sabah terpaksa menanggung “kos geografi” yang tinggi untuk mendapatkan peluang pendidikan, pekerjaan dan ekonomi di peringkat nasional.
Sehubungan itu, MBS menggesa Kerajaan Persekutuan dan pihak berkaitan mempertimbangkan intervensi yang lebih berkesan bagi menangani isu tambang penerbangan, termasuk meningkatkan kapasiti tempat duduk ketika musim puncak, menggalakkan persaingan antara syarikat penerbangan serta memperkukuh pemantauan terhadap lonjakan tambang.
MBS turut mencadangkan supaya mekanisme bantuan atau tambang bersasar dipertimbangkan bagi golongan tertentu, termasuk mahasiswa, atlet serta mereka yang perlu melakukan perjalanan atas urusan kecemasan keluarga.
“Kami memahami industri penerbangan mempunyai kos operasi dan harga dipengaruhi permintaan.
“Tetapi faktor geografi tidak seharusnya menyebabkan rakyat Sabah membayar harga yang terlalu tinggi untuk mendapatkan peluang yang sama.
“MBS tidak meminta tiket percuma. Kami meminta satu sistem yang lebih adil,” katanya.
Abqaree berkata, penerbangan antara Sabah dan Semenanjung bukan sekadar menghubungkan dua destinasi, sebaliknya menjadi penghubung kepada keluarga, pendidikan, pekerjaan, peluang dan masa depan anak-anak Sabah.
