JOHOR BAHRU: “Ibu bapa saya kehilangan wang simpanan hari tua mereka kira-kira RM40,000 apabila terpaksa menjelaskan hutang adik yang kian hanyut dalam judi dalam talian,” kata pengurus kedai cermin mata dikenali sebagai Lee, 30.
Wanita itu berkata, keluarganya mula mengesan tabiat buruk adik lelakinya itu yang berusia 29 tahun sejak awal tahun ini apabila meminta pinjaman kewangan daripada ahli keluarga.
Beliau berkata, lebih membimbangkan adiknya yang juga pekerja kilang di Singapura turut didapati membuat pinjaman daripada ceti haram tanpa pengetahuan ahli keluarganya.
Katanya, apabila gagal menjelaskan hutang, adiknya meminta bantuan ahli keluarga bagi menyelesaikan permasalahannya.
“Pada Mei lalu, dia mengakui gagal menjelaskan hutang RM2,500 sebelum meminta bantuan saya. Malangnya keluarga kami terus menerima pelbagai tekanan apabila sindiket ceti haram menuntut kadar bunga dan sebagainya.
“Malah adik juga didapati tidak berubah sikap, dia terus meminjam daripada sindiket berulang-kali hingga ia kami menjadi mangsa. Wang simpanan ibu bapa kira-kira RM40,000 juga terpaksa diserahkan kepada mereka secara berperingkat dan kami menjadi buntu apabila terbaru mereka menuntut belasan ribu,” katanya.
Katanya, malah keluarganya juga menerima pelbagai ugutan hingga semakin bimbang dengan keselamatan masing-masing.
“Adik lelaki saya tidak dapat dihubungi sejak awal Ogos lalu dan kami berharap keluarga kami tidak diganggu lagi.
“Pinjaman itu diberikan tanpa pengetahuan atau kebenaran kami, oleh itu mengapa ibu bapa atau ahli keluarga kami yang lain patut menanggung hutang secara berterusan. Kami berharap adik menyelesaikan permasalahannya tanpa menimbulkan kesulitan kepada ibu bapa kerana mereka ingin hidup dengan tenang.
“Demi keselamatan keluarga terutama ibu bapa kami ingin memutuskan hubungan dengan adik, harap kami tidak diganggu lagi,” katanya.
Lee membuat laporan polis di Balai Polis Permas Jaya pada 30 Mei dan di Balai Setia Indah di sini 18 Ogos lalu, selain mengadu kepada Pengarah Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Lee Wern Yiing, di sini petang semalam.
Kredit sumber: Berita Harian
