MELAKA: Raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri di Klebang di sini, hari ini berlangsung meriah dengan menampilkan pelbagai aset pertahanan negara termasuk lintas hormat pesawat tempur Sukhoi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pameran aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, raptai itu memberi gambaran awal kepada rakyat mengenai kemeriahan sambutan yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini, selain peluang menyaksikan keupayaan pasukan keselamatan negara.
Katanya, penganjuran sambutan kali ini mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hari ini kita menyaksikan satu raptai penuh sempena Hari Kebangsaan. Kita menjangkakan lebih 50,000 hingga 60,000 rakyat Melaka akan hadir,” katanya selepas menghadiri raptai berkenaan di Jalan Persiaran Pantai Klebang, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, antara pengisian menarik yang dipersembahkan pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri kali ini adalah lintas hormat enam pesawat Sukhoi TUDM dan tiga pesawat pengangkut udara Airbus yang melintasi ruang udara.
Katanya, TLDM turut menyediakan enam aset kapal perang untuk dipamerkan kepada rakyat yang berpeluang melakukan lawatan sambil belajar sempena sambutan berkenaan.
“Semua ini telah diatur dan insya-Allah rakyat Melaka boleh datang ke Pantai Klebang. Selain itu, pameran antara pasukan tentera juga berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos ini bagi mempamerkan kebolehan mereka.
“Antaranya pameran aset kapal TLDM di Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) Melaka 2026 di Dataran Satu Malaysia Klebang termasuk KD Indera Sakti, KD Muhammad Amin, KD Lekir, Combat Boat 90, KD Pahang, KD Gempita, Combat Boat 90 dan Fast Interceptor Craft,” katanya.
Ab Rauf berkata, rakyat juga berpeluang menikmati kemasukan percuma ke lokasi dan tarikan pelancongan di seluruh negeri pada 31 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Kredit sumber: Berita Harian
