PERMATANG PAUH: Kerajaan tidak boleh berdiam diri apabila berlaku kehilangan atau kebocoran wang negara, walaupun tindakan yang diambil mengundang kecaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan perlu diambil berdasarkan siasatan dan bukti, termasuk dalam isu membabitkan Tabung Haji (TH), bagi mengelakkan negara terus menanggung kerugian.
“Macam Tabung Haji, bila tak ambil tindakan, negara rugi. Ambil tindakan, kena maki.
“Saya pun tak faham. Kita bukan boleh hukum orang yang tidak salah,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Anwar dan dihadiri kira-kira 550 orang, manakala 334 peserta SUB berdaftar pada program berkenaan pagi tadi.
Menurut Anwar, Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk menangkap atau menjatuhkan hukuman terhadap seseorang, sebaliknya perkara itu perlu melalui proses siasatan sebelum dibawa ke mahkamah.
Beliau berkata, siasatan perlu dilakukan bagi mengenal pasti bagaimana kehilangan wang berlaku, bila ia terjadi dan pihak yang bertanggungjawab sebelum pendakwaan boleh dibuat.
“Bukan saya yang tangkap. Saya kata, duit hilang RM12 bilion. Macam mana hilang? Bila hilang? Siapa bagi hilang? Hangpa siasat.
“Ada siasatan, ada bukti, dakwa ke mahkamah, kemudian serah kepada hakim. Kalau tak salah, lepas. Kalau salah, ikutlah proses undang-undang,” katanya.
Anwar berkata, tindakan terhadap kebocoran wang negara perlu dilakukan segera supaya kekayaan negara tidak terus hilang sebelum manfaatnya sampai kepada rakyat.
“Siapa kata Malaysia ini miskin? Tapi banyak yang tak sampai ke bawah. Dia bocor di tengah jalan,” katanya.
Pada 14 Ogos lalu, tujuh individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga TH.
Mereka terdiri daripada bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.
Sementara itu, bekas Pengerusi Lembaga TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan masing-masing direman selama tujuh hari bermula 27 Ogos hingga 2 September bagi membantu siasatan susulan pendedahan dalam laporan RCI berkenaan.
Dalam perkembangan sama, tempoh reman seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH turut dilanjutkan empat hari sehingga 31 Ogos.
Siasatan itu dijalankan susulan laporan RCI yang meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Kredit sumber: Buletin TV3
