KUALA LUMPUR: BERSATU sedang mencari rakan gabungan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana tidak mahu bertanding solo.
Sumber kepimpinan BERSATU menyatakan sehingga kini parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sudah memulakan rundingan dengan beberapa parti lain untuk bergerak bersama pada PRN Melaka.
Ketika ditanya berhubung kecenderungan gabungan yang menjadi pilihan BERSATU, sumber terbabit hanya menyatakan parti itu sudah bersama Barisan Nasional (BN) di Pahang.
“Kita tumpu untuk bekerjasama dengan beberapa parti lain dahulu dan kini masih terbuka untuk bergandingan dengan gabungan yang ada.
“Ada rundingan yang sudah dimulakan di sana dan di sebelah sini, namun kita belum putuskan lagi. BERSATU sudah dengan BN di Pahang,” katanya kepada BH, di sini.
Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyatakan pembubaran DUN negeri itu boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja walaupun tempoh mandat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan tamat secara automatik pada Disember ini.
Sebelum ini, BERSATU mengambil pendirian bertanding solo di 24 DUN daripada keseluruhan 36 DUN dalam PRN Negeri Sembilan, namun gagal meraih sebarang kerusi.
Pada masa sama menurut sumber, BERSATU hanya menyasarkan bertanding di dua atau tiga kerusi di PRN Melaka, membabitkan kerjasama dengan gabungan parti lain.
“Kalau hendak bertanding pun, perlu bersama gabungan dan mungkin dua atau tiga kerusi sahaja,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, BERSATU yang bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN) memenangi dua kerusi DUN, iaitu Bemban dan Sungai Udang.
Kredit sumber: Berita Harian
