KOTA KINABALU: Sabah giatkan usaha menarik lebih ramai pelancong dari China menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini sahaja, seramai 578,681 pelancong China berkunjung ke negeri itu, sekali gus meningkat 21.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin, berkata China kekal sebagai pasaran pelancongan amat penting bagi Sabah.
“Seiring usaha memantapkan perhubungan udara, pemasaran destinasi kita wajar diperluas menerusi platform digunakan mereka untuk meneroka dan merancang percutian.
“Penerbangan lebih banyak bermakna lebih ramai pelawat, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada industri pelancongan serta komuniti tempatan kita,” katanya.
Sebelum ini, Jafry bersama delegasi kerajaan negeri mengadakan lawatan seminggu ke China bagi mempromosikan Sabah serta memperkukuh laluan udara.
Lawatan ke Chongqing, Guiyang, Anshun dan Shanghai itu menyaksikan pertemuan bersama syarikat penerbangan, penggiat industri pelancongan, wakil perniagaan, kumpulan kebudayaan serta platform media sosial.
Jafry berkata, sebuah syarikat penerbangan tempatan di negara itu kini menyediakan penerbangan terus tiga kali seminggu ke Sabah, manakala lebih banyak penerbangan dijangka beroperasi antara Sabah dan Shanghai menjelang akhir tahun ini menerusi perancangan penambahan jadual dua syarikat lain.
Setakat ini, Kota Kinabalu mempunyai perkhidmatan penerbangan terus berjadual ke beberapa destinasi termasuk Beijing, Guangzhou, Hangzhou, Shenzhen dan Hong Kong.
“Kita juga melakukan pemasaran dengan menggabungkan elemen pelancongan, kebudayaan, muzik, media dan perniagaan secara serentak.
“Ia bagi mewujudkan pelbagai peluang dalam industri pelancongan kita, bermula sektor perhotelan dan ejen pelancongan hingga restoran, tempat tarikan serta perniagaan tempatan,” kata Jafry.
Sabah juga berusaha memperkukuh kehadiran digitalnya di China, dengan merekodkan carian berkaitan negeri itu di salah satu platform media sosialnya.
Antara carian popular berkaitan Sabah di platform terbabit termasuk pemandangan matahari terbenam, gunung, keindahan laut dan makanan laut segar.
Kredit sumber: Berita Harian
