KINABATANGAN: Bangkai seekor gajah yang dipercayai dihanyutkan arus ditemukan penduduk di Sungai Kinabatangan, di sini, petang semalam.
Bangkai haiwan berkenaan ditemukan kira-kira jam 4.30 petang selepas dipercayai hanyut ke hilir sungai dari kawasan Lot 5 menuju ke Sukau.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, pihaknya mengesyaki bangkai berkenaan adalah gajah yang dilaporkan sakit beberapa minggu lalu.
Menurutnya, JHL sebelum ini menerima maklumat secara tidak rasmi mengenai seekor gajah yang sakit, namun tindakan lanjut tidak dapat diambil kerana pihaknya tidak mengetahui kepada siapa aduan berkenaan disalurkan.
“Kita ada dimaklumkan secara tidak rasmi tetapi tidak dapat mengambil tindakan kerana tidak pasti aduan dibuat kepada pihak mana.
“Bangkai ini disyaki adalah gajah yang dilaporkan sakit beberapa minggu lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Mohd Soffian berkata, keadaan bangkai serta maklumat lanjut termasuk punca kematian hanya dapat dikenal pasti selepas anggota JHL tiba di lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
Katanya, usaha untuk ke lokasi ketika ini berdepan kekangan berikutan masalah kekurangan bot.
“Maklumat mengenai keadaan bangkai tidak dapat dipastikan sehinggalah anggota sampai ke lokasi itu,” katanya.
