KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, berpandangan program membabitkan artis Kristian Amerika Syarikat, Israel Houghton dan kumpulannya wajar dibenarkan tertakluk kepada kelulusan serta peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan realiti Sabah sebagai negeri yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta telah hidup bersama dalam suasana saling menghormati sejak sekian lama.
“Setiap komuniti mesti mempunyai kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing secara aman dengan menghormati antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Shafie, kebebasan penganut Kristian di Sabah untuk menghadiri perhimpunan berkenaan tidak bermaksud mereka atau pihak berkuasa perlu menerima setiap pandangan peribadi atau politik yang pernah disuarakan artis terbabit.
Beliau berkata, pihak berkuasa perlu melaksanakan peraturan secara adil dan sekiranya terdapat halangan dari sudut undang-undang, perkara itu perlu dinyatakan dengan jelas.
“Sebarang kebimbangan keselamatan yang sebenar juga perlu ditangani dengan polis mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keamanan dan melindungi mereka yang menghadiri acara itu,” katanya.
Shafie berkata, bantahan terhadap sesuatu program tidak seharusnya menjadi satu-satunya asas untuk menentukan sama ada sesuatu perhimpunan keagamaan boleh diadakan.
Katanya, mereka yang membantah mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan secara aman, manakala mereka yang mahu menghadiri acara berkenaan juga wajar diberikan layanan dan penghormatan yang sewajarnya.
“Muslim, Kristian, Buddha dan penganut agama lain telah berkongsi tanah ini selama beberapa generasi.
“Penghormatan terhadap kepercayaan masing-masing termasuk kebebasan untuk berkumpul, berdoa, menyanyi dan menganjurkan program keagamaan selagi ia mematuhi undang-undang,” katanya.
Pendirian itu dibuat ketika penganjuran program berkenaan menjadi perhatian selepas beberapa pihak menyuarakan bantahan berhubung pendirian awam Houghton terhadap Israel.
Polis Sabah sebelum ini memaklumkan menerima dua laporan berkaitan program berkenaan dan berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan serta mengambil kira sensitiviti masyarakat dan ketenteraman awam.
Shafie berkata, tradisi keharmonian antara penganut agama di Sabah perlu terus dipertahankan dengan memastikan setiap komuniti berasa dihormati dan selamat untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan memudah cara penganjuran acara berkenaan sekiranya semua syarat yang diperlukan telah dipenuhi.
Beliau pada masa sama menyeru semua pihak supaya mengamalkan sikap terkawal dan saling menghormati dalam menangani isu berkenaan.
“Kita mesti menjunjung undang-undang, melindungi amalan keagamaan secara aman dan memelihara keharmonian yang selama ini menjadi kekuatan Sabah,” katanya.
