KOTA KINABALU: Peruntukan berkaitan pembangunan kemahiran, TVET, STEM, teknologi dan pembangunan modal insan di Sabah yang dianggarkan sekitar RM250 juta bagi tempoh tiga tahun perlu disusuli dengan pengukuran hasil pekerjaan yang lebih jelas.
Presiden Persatuan Pusat Latihan Kemahiran SLDN Sabah dan W.P. Labuan, Nelson Mosinoh berkata, keberkesanan sesuatu program latihan tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan jumlah kursus yang dilaksanakan, bilangan peserta atau sijil yang dikeluarkan.
Sebaliknya, katanya, aspek seperti kadar penempatan pekerjaan, gaji permulaan serta kemampuan peserta untuk kekal dalam pekerjaan selepas tamat latihan perlu diberi perhatian.
Beliau berkata, berdasarkan penelitian persatuan terhadap Belanjawan Negeri Sabah bagi 2024, 2025 dan 2026, beberapa peruntukan berkaitan pembangunan sumber manusia, TVET, STEM, teknologi, latihan pertanian dan pembangunan kemahiran secara keseluruhannya berjumlah sekitar RM250 juta.
“Angka ini merupakan pengumpulan beberapa kategori peruntukan berkaitan dan bukan satu program atau satu vot belanjawan tunggal, kerana skop dan definisi peruntukan berubah mengikut tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Nelson berkata, sebagai contoh, Belanjawan Sabah 2025 memperuntukkan RM28.53 juta kepada Jabatan Pembangunan Sumber Manusia untuk program dan latihan kemahiran termasuk train-and-place serta pembangunan keusahawanan TVET.
Katanya, RM41.75 juta turut diperuntukkan kepada KSTI, SSTC dan SCENIC bagi program yang merangkumi bidang sains, teknologi, inovasi, STEM dan TVET.
Bagi 2026 pula, Kerajaan Negeri mengumumkan RM39.24 juta untuk pembangunan modal insan yang merangkumi antaranya TVET, STEM, inovasi dan teknologi digital, ICT, hospitaliti, pertanian serta latihan dalam sektor perladangan kelapa sawit.
Menurut Nelson, persatuan mengiktiraf usaha dan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan serta bidang pendidikan teknikal dan latihan kemahiran.
Bagaimanapun, katanya, dengan kadar pengangguran Sabah berada pada 5.5 peratus bagi suku pertama 2026, persoalan yang perlu diberikan perhatian ialah keberkesanan latihan dalam membawa peserta kepada pekerjaan.
“Persoalannya bukan hanya berapa banyak wang telah diperuntukkan untuk latihan, tetapi berapa ramai peserta yang masih mempunyai pekerjaan enam bulan atau setahun selepas latihan tersebut,” katanya.
Nelson berkata, pembangunan kemahiran pada masa hadapan perlu dinilai berdasarkan outcome dan bukan semata-mata output.
Menurut beliau, antara perkara yang wajar dipantau bagi setiap program latihan yang menggunakan peruntukan awam ialah jumlah peserta yang menamatkan latihan, bilangan yang mendapat pekerjaan dalam tempoh tiga bulan serta sama ada pekerjaan itu berkaitan dengan latihan yang diterima.
Selain itu, katanya, median gaji permulaan dan jumlah peserta yang masih bekerja selepas tiga, enam dan 12 bulan juga perlu direkodkan.
“Dan akhirnya, berapakah kos kerajaan bagi setiap peserta yang berjaya mendapat dan mengekalkan pekerjaan?” katanya.
Beliau berkata, data sedemikian membolehkan kerajaan mengenal pasti program yang benar-benar berkesan serta sektor yang memerlukan pendekatan latihan berbeza.
Dalam pada itu, Nelson berkata, persatuan melihat potensi besar untuk memperluaskan pendekatan Akademi Dalam Industri (ADI) dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), yang memberi penekanan kepada pembelajaran di tempat kerja serta penglibatan industri secara langsung.
Katanya, pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah mengenal pasti kekosongan pekerjaan terlebih dahulu, diikuti pemilihan calon, latihan berdasarkan keperluan majikan, latihan industri, penempatan pekerjaan dan seterusnya pemantauan pengekalan pekerjaan.
“Dengan pendekatan ini, pusat latihan tidak hanya menjadi tempat mengeluarkan sijil. Pusat latihan menjadi sebahagian daripada rantaian penyelesaian pekerjaan,” katanya.
Nelson turut mencadangkan supaya dasar pembiayaan latihan pada masa hadapan menilai prestasi berdasarkan beberapa peringkat, termasuk penyempurnaan latihan, pensijilan, penempatan dan pengekalan pekerjaan.
Menurutnya, pendekatan berkenaan dapat membantu memastikan insentif semua pihak lebih selari dengan matlamat akhir, iaitu mewujudkan pekerjaan yang mampan.
Pada masa sama, beliau menegaskan persatuan tidak menyimpulkan bahawa peruntukan terdahulu telah gagal.
Katanya, terdapat program latihan yang mempunyai objektif lebih luas meliputi pendidikan, STEM, inovasi dan pembangunan modal insan, selain penempatan pekerjaan semata-mata.
Namun, beliau berpandangan bahawa ketika Sabah masih mencatatkan kadar pengangguran yang lebih tinggi daripada purata nasional, program yang secara khusus bertujuan mewujudkan pekerjaan wajar mempunyai sistem pengukuran hasil yang lebih telus dan konsisten.
Nelson berkata, Kerajaan Negeri telah menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh TVET, STEM, teknologi digital dan pembangunan modal insan.
Sehubungan itu, katanya, Persatuan Pusat Latihan Kemahiran SLDN Sabah dan W.P. Labuan bersedia menjadi rakan strategik kerajaan serta industri dalam membantu memperkukuh pelaksanaan latihan berasaskan industri di Sabah.
“Matlamat bersama seharusnya jelas: bukan berapa ramai yang kita latih, tetapi berapa ramai yang kita berjaya bawa daripada latihan kepada pekerjaan dan seterusnya membina kerjaya,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
