KUANTAN – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek didesak agar memberikan sesi penerangan di Dewan Rakyat Isnin ini mengenai isu keselamatan murid di sekolah.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, rakyat berhak mendapat jawapan segera mengenai isu itu.
Menurutnya, tahap keselamatan murid di sekolah sudah semakin meruncing, membimbangkan dan tidak boleh diterima.
“Saya amat sedih dengan laporan satu lagi kematian pelajar di sekolah iaitu di Yong Peng semalam,” katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Terdahulu media melaporkan, seorang pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng dekat sini pada Sabtu.
Remaja berusia 16 tahun itu ditemui sudah tidak bernyawa dalam dewan di sekolah terbabit pada sebelah petang.
Susulan kejadian itu, tiga pelajar lelaki ditahan selepas disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Difahamkan, seorang daripada pelajar terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, pagi Ahad, untuk direman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Sementara itu, Saifuddin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan keluarganya diberi ketabahan,” ucapnya.
Kredit sumber: Sinar Harian
