KUCHING: Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak kini memangku tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak, susulan pertukaran Datuk Mohamad Zainal Abdullah ke Bukit Aman sebagai Pengarah Pengurusan.
Saifullizan, 56, berpengalaman luas dalam bidang kepolisan, operasi keselamatan, perancangan strategik dan pengurusan risiko serta mempunyai pengalaman dalam pelbagai bidang sepanjang lebih tiga dekad perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau yang berasal dari Kedah menyertai PDRM pada 1995 dan pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pegawai Siasatan dan Perisikan di Cawangan Khas, Ketua Penolong Pengarah Integriti serta Ketua Penolong Pengarah, Kawalan Khas.
Selain pengalaman dalam penguatkuasaan undang-undang dan risikan, beliau turut mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan negara, penilaian ancaman, pengurusan risiko, integriti, tadbir urus serta perancangan strategik organisasi.
Saifullizan juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Keselamatan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dari 2018 hingga 2020, dengan tanggungjawab antaranya berkaitan keselamatan diplomatik, penilaian risiko serta penyelarasan dengan pihak berkuasa dan rakan strategik.
Dalam bidang akademik, beliau memiliki Sarjana Sains Sosial (Sains Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2015, selain Diploma Sains Penyiasatan dari Universiti Malaya pada 2008.
Beliau turut memperoleh kelayakan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) daripada Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) pada 2024.
Sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak sejak 2025, Saifullizan mempunyai pengalaman langsung dalam membantu kepimpinan kontinjen dari aspek kepolisan strategik, keselamatan, operasi, sumber manusia serta penyelarasan antara jabatan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Sarawak.
Profil perkhidmatan beliau turut menunjukkan pengalaman dalam pengumpulan dan analisis risikan, penilaian ancaman keselamatan negara, operasi keselamatan serta perancangan strategik dan pembangunan organisasi.
Dengan pengalaman tersebut, beliau kini diberi tanggungjawab meneruskan kesinambungan kepimpinan Kontinjen Sarawak yang meliputi 28 daerah polis serta kawasan pentadbiran yang luas.
Majlis serah terima tugas telah diadakan di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dengan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online/Disiarkan pada 1 Oktober 2026
