SEMPORNA: Seorang wanita warga China berusia 66 tahun meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Pom Pom, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berasal dari Yunnan dilaporkan berasa tidak selesa ketika melakukan aktiviti berkenaan sebelum meminta untuk dibawa kembali ke bot.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, mangsa berada di kawasan berkenaan bersama ahli keluarganya untuk melakukan aktiviti snorkeling sebelum kejadian berlaku.
Menurutnya, sebaik sahaja berada di atas bot, mangsa didapati tidak sedarkan diri.
“Bantuan pernafasan (CPR) diberikan kepada mangsa, namun tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, pemeriksaan di Wad Kecemasan Hospital Semporna mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Tan berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mempunyai sejarah penyakit asma sejak kira-kira 10 tahun lalu.
“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui keadaan sebenar yang berlaku dalam kejadian ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengusaha sektor pelancongan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan pengunjung, khususnya ketika menjalankan aktiviti berkaitan air.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohammad Ali Amat menerusi talian 013-2120852. – DAKWAT RAKYAT POST
