KUALA NERUS: Kelston Cosmos Lab meneroka peluang kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), khususnya dalam bidang sumber mineral, unsur nadir bumi (REE), mineral berharga, analisis makmal serta penyelidikan dan pembangunan teknologi.
Usaha itu dibincangkan menerusi kunjung hormat delegasi Kelston Cosmos Lab ke UMT Consultancy Services Sdn. Bhd. (UMTCS), UMT pada 4 Oktober lalu.
Antara perkara yang menjadi fokus perbincangan ialah cadangan untuk mewujudkan cawangan pusat kajian atau makmal Cosmos di dalam kampus UMT.
Kedua-dua pihak turut melihat potensi kerjasama antara makmal bagi melaksanakan proses semakan silang (cross-check) serta pengesahan terhadap keputusan analisis yang dijalankan.
Dalam pertemuan itu, UMTCS turut menyatakan kesediaan memberikan khidmat nasihat dan bimbingan kepada pihak Cosmos dalam usaha memenuhi keperluan bagi mendapatkan pensijilan ISO berkaitan operasi serta analisis makmal.
Delegasi Cosmos Gemilang Perkasa Mineral Sdn. Bhd. diketuai Pengarahnya, Azaizuree Ahmad, dan turut disertai Branch Operation Manager, Jordan Woo Zhe Yue; Lab Manager, Mohd Faris Ishak; Senior Chemist, Mohamad Nazirul Mubin Md Razin, serta Senior Lab Assistant, M. Mazuni Mamat.
Sementara itu, UMT diwakili Profesor Madya Dr. Yusof Shu’aib Ibrahim, General Manager UMT Consultancy Services Sdn. Bhd., bersama ChM. Asrul Azani Mahmood, Timbalan Pengarah, dan Borhanudin Mohd Yusof @ Mohamed, Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL), UMT.
Pertemuan berkenaan dilihat membuka ruang kepada penerokaan kerjasama lebih luas antara pihak industri dan institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh kepakaran, keupayaan analisis serta pembangunan teknologi berkaitan sumber mineral pada masa akan datang. – DAKWAT RAKYAT POST
