KENINGAU: Seorang penjawat awam direman tujuh hari kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya bagi mengesahkan Sijil Pengesahan Siap membabitkan 15 projek kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry sehingga 12 Oktober ini selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Keningau, pagi tadi.
Suspek ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Keningau.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2021 hingga 2024.
Suspek disyaki menggunakan kedudukannya untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi kesemua 15 projek kerajaan yang dilaksanakan sebuah syarikat dipercayai milik ahli keluarganya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan fakta dan keadaan berkaitan kes berkenaan.
