KUALA TERENGGANU – Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) terus memperkukuh usaha memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi penganjuran Pertandingan Inovator Muda YDSM.
Kerjasama bersama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) itu memberi ruang kepada murid sekolah di seluruh Terengganu untuk mengetengahkan idea kreatif serta menghasilkan penyelesaian berkaitan cabaran dalam kehidupan seharian.
Penganjuran sulung pertandingan berkenaan turut menyaksikan penyertaan daripada sekolah yang berada di kawasan luar bandar dan jauh dari pusat bandar, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak di Hulu Besut dan SK Kuala Berang di Hulu Terengganu.
Malah, murid dari SK Pulau Perhentian turut mengambil bahagian selepas menempuh perjalanan merentasi laut bagi menyertai pertandingan berkenaan.
Sebanyak 203 penyertaan diterima bagi lima kategori yang dipertandingkan, dengan peserta diberikan tugasan menghasilkan inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu golongan orang kurang upaya, warga emas serta meningkatkan aspek keselamatan dalam kehidupan harian.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Mohd Fadzli Yusof berkata, pertandingan tersebut membolehkan murid daripada pelbagai latar belakang sekolah menyerlahkan kebolehan dan bakat mereka dalam bidang yang semakin penting untuk masa depan.
Menurutnya, usaha memperkasakan pendidikan merupakan antara komponen penting dalam mencapai matlamat YDSM untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Terengganu khususnya dan Malaysia secara keseluruhannya.
“Matlamat utama Yayasan Diraja Sultan Mizan atau YDSM adalah untuk mempertingkatkan, memperkasakan dan memperhebatkan taraf sosio ekonomi penduduk Terengganu khususnya dan Malaysia amnya.
“Bila kita bercakap tentang sosio ekonomi ia meliputi pelbagai bidang termasuk pendidikan. Dalam sistem pendidikan moden ini kita sedia maklum, pentingnya TVET,” katanya ketika hadir menyaksikan pertandingan berkenaan.
Beliau berkata, peluang yang sama perlu diberikan kepada semua murid tanpa mengira lokasi, latar belakang sekolah atau aliran pendidikan.
Katanya, penyertaan sekolah beraliran agama dalam pertandingan itu turut membuktikan bahawa usaha memperkukuh pendidikan STEM mampu melibatkan murid daripada pelbagai aliran.
“Peluang sama rata juga sewajarnya diberikan kepada setiap murid-murid sekolah ini tanpa mengira latar belakang sesuatu sekolah mahupun institusi atau aliran sekolah itu di mana kita boleh lihat pada hari ini sekolah beraliran agama juga turut bertanding.
“Ianya suatu penanda aras yang baik untuk usaha bersama ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, penglibatan barisan juri daripada agensi kementerian berkaitan, sektor industri dan bidang pendidikan menjadikan penilaian hasil ciptaan peserta lebih menyeluruh.
Katanya, kepakaran daripada pelbagai bidang membolehkan idea dan reka cipta murid dinilai berdasarkan beberapa aspek, termasuk kesesuaian, kreativiti serta keupayaan penyelesaian yang diketengahkan.
Beliau berkata, walaupun tugasan pertandingan memerlukan peserta menggunakan teknologi AI bagi menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada orang kurang upaya, warga emas dan aspek keselamatan harian, murid sekolah tetap berjaya mengemukakan idea yang kreatif serta pembentangan yang memenuhi kehendak cabaran.
Kesemua 203 pembentangan berlangsung selama sehari di PSKT, Kuala Terengganu, sebelum lima penyertaan terbaik bagi setiap kategori dipilih untuk mara ke peringkat akhir.
Pemenang akhir bakal bersaing merebut Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan yang dijadualkan diumumkan pada penghujung tahun ini.
Penganjuran berkenaan dilihat bukan sahaja memberi pendedahan kepada murid terhadap aplikasi STEM dan AI, malah membantu membina keyakinan mereka dalam mencetuskan idea, menyelesaikan masalah serta menghasilkan inovasi yang mempunyai manfaat kepada masyarakat. – DAKWAT RAKYAT POST
