KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) perlu mencermin diri dan mengakui kelemahan pentadbiran terdahulu sebelum mempersoalkan Kerajaan Sabah ketika ini berhubung penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah, berkata pihak yang bercakap mengenai akauntabiliti tidak seharusnya hanya memilih lembaran sejarah yang disukai, sebaliknya perlu mengakui kesilapan dan kelemahan yang berlaku ketika mereka diberi mandat memerintah negeri.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Chen Ket Chuin atau KC, yang antara lain mempersoalkan kelewatan projek berkenaan susulan penemuan LKAN serta mendesak Kerajaan Sabah menjelaskan status pakej yang lewat atau sakit, kontraktor dan perunding terlibat, bayaran dibuat serta tindakan yang diambil.
Aksyah berkata, LKAN dengan jelas menyebut kegagalan, kelewatan dan kepincangan perancangan projek itu telah berlarutan lebih 10 hingga 11 tahun sejak ia mula dirancang pada 2015, yang turut merangkumi tempoh Warisan memegang tampuk pemerintahan Sabah.
“Jika benar terdapat kelemahan pengurusan tapak, isu utiliti dan tadbir urus kontrak, persoalannya, apakah yang dilakukan pentadbiran Warisan sepanjang tempoh lebih dua tahun mereka memerintah dahulu?” katanya dalam kenyataan di facebook hari ini.
Beliau mendakwa, masalah yang melumpuhkan momentum Lebuhraya Pan Borneo Sabah berpunca daripada keputusan kerajaan terdahulu menamatkan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada September 2019, yang menurutnya dibuat atas alasan penjimatan.
“Tindakan populis itu akhirnya memusnahkan struktur penyelarasan teknikal dan rantaian dana persekutuan, menyebabkan pelaksanaan projek menjadi kucar-kacir, pengurusan pampasan tanah terbengkalai dan banyak pakej kerja bertukar menjadi projek sakit,” katanya.
Aksyah berkata, Kerajaan Negeri ketika ini melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sentiasa telus membentangkan status 35 pakej Fasa 1, termasuk mengambil langkah pemulihan terhadap pakej yang masih lewat.
Katanya, di bawah struktur pemantauan baharu kementerian, usaha memulihkan tapak, menyelesaikan pembayaran pampasan tanah yang tertunggak serta pengalihan utiliti sedang dipergiatkan bagi memastikan projek dapat disiapkan.
“Apabila Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengambil alih pentadbiran, beliau tidak membuang masa dengan hanya meratap atau menuding jari, sebaliknya mengambil tanggungjawab berat untuk menyelesai, mengurus dan merawat ‘barah kronik’ tinggalan dasar masa lalu ini,” katanya.
Menurutnya, pentadbiran Hajiji turut membetulkan semula struktur perolehan sehingga pada Oktober 2024, Surat Setuju Terima (SST) diserahkan kepada 13 kontraktor tempatan bagi melaksanakan baki 19 pakej kerja di bawah Fasa 1B bernilai RM13.989 bilion.
Aksyah berkata, pihaknya bersetuju bahawa peruntukan tanpa akauntabiliti boleh membawa kepada pembaziran, namun konsep akauntabiliti juga menuntut semua pihak mengakui kesilapan lalu dan tidak sekadar menuding jari kepada pihak yang sedang berusaha membaiki kerosakan.
Beliau turut mendakwa masalah air Sabah yang berlarutan sehingga kini mempunyai kaitan dengan keputusan kerajaan terdahulu menghentikan konsesi air ketika Warisan mentadbir negeri.
“Adakah Warisan layak diberikan mandat dan berbicara soal mentadbir dan menguruskan Sabah?” katanya.
