KINABATANGAN: Seorang anggota polis maut selepas kenderaan pasukan yang dinaikinya terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan selepas selesai menjalankan tugas mengiring tahanan, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang di Kampung Lot M, Konstabel Mathew Zulian Backly, 29, yang bertugas di IPD Kinabatangan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kinabatangan.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Janeve Sindih berkata, ketika kejadian mangsa bersama dua lagi anggota berada dalam kenderaan pasukan dalam perjalanan pulang dari Penjara Sibuga, Sandakan.
“Ketiga-tiga anggota berkenaan baru selesai menjalankan tugas mengiring tahanan sebelum dalam perjalanan pulang ke IPD Kinabatangan.
“Kenderaan pasukan yang dinaiki mereka dipercayai terbabas ketika cuba mengelak sebuah kenderaan yang datang dari arah hadapan,” katanya ketika dihubungi.
Janeve berkata, ketiga-tiga anggota kemudian dibawa menggunakan ambulans ke Jabatan Kecemasan Hospital Kinabatangan untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, katanya, Mathew disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 4.53 petang.
“Jenazah mendiang akan dibawa pulang ke Kuching, Sarawak untuk urusan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Janeve merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan menyifatkan pemergian anggota berkenaan sebagai satu kehilangan kepada seluruh warga IPD Kinabatangan.
“Bagi pihak seluruh warga IPD Kinabatangan, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
“Semoga keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya. -Dakwat Rakyat Post
