BEAUFORT: Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Suasa, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 36 tahun dan motosikal Honda yang ditunggang mangsa.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati Perodua Bezza dalam perjalanan dari Kampung Lago menghala ke Beaufort, manakala motosikal mangsa bergerak dari Kampung Gelila Jaya menuju ke Kampung Lago.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai memasuki laluan Perodua Bezza sebelum berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Champin berkata, pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan ringan, manakala seorang kanak-kanak yang merupakan penumpang kenderaan berkenaan tidak mengalami kecederaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Beaufort atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu dan menunggang dengan cermat, mematuhi peraturan lalu lintas serta kekal di laluan yang betul bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. -Dakwat Rakyat Post
