KOTA KINABALU, 8 Oktober 2026 – Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas serta mempertingkat pemeriksaan kualiti petrol RON95 di seluruh negeri bagi memastikan bahan api yang digunakan pengguna berada pada tahap selamat dan menepati piawaian ditetapkan.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, pemeriksaan secara lebih menyeluruh perlu dilaksanakan sebagai langkah awal susulan laporan mengenai dakwaan petrol RON95 bercampur air di beberapa stesen minyak di Kedah baru-baru ini.
Menurut beliau, walaupun pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan ujian makmal berkaitan perkara itu, kejadian berkenaan wajar dijadikan peringatan supaya aspek kualiti bahan api tidak dipandang ringan.
“Jangan tunggu sehingga pengguna menjadi mangsa, kenderaan rosak dan mereka terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit sebelum tindakan diambil. Langkah pencegahan perlu didahulukan berbanding menunggu sesuatu kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
David berkata, pemeriksaan mengejut dan pengambilan sampel bahan api secara rawak perlu dipertingkatkan di stesen minyak seluruh Sabah, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, setiap sampel yang diambil perlu menjalani pemeriksaan serta ujian kualiti bagi memastikan petrol RON95 dan bahan api lain yang dijual kepada pengguna mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Beliau berkata, bekalan petrol mempunyai kepentingan besar kepada rakyat Sabah kerana bukan sahaja digunakan untuk urusan harian, malah turut menyokong aktiviti pengangkutan, ekonomi dan kehidupan masyarakat yang banyak bergantung kepada kenderaan persendirian.
“Pengguna membeli petrol menggunakan wang hasil titik peluh sendiri. Jika bahan api yang tercemar menyebabkan kerosakan kenderaan, mereka pula terpaksa mengeluarkan kos yang besar untuk membaikinya.
“Kerugian seperti kerosakan sistem bahan api, pam minyak, penyuntik bahan api atau enjin boleh membabitkan perbelanjaan yang tinggi, terutama bagi pengguna daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Sehubungan itu, David turut menyeru pengusaha stesen minyak dan syarikat pembekal bahan api supaya memperkemas kawalan kualiti pada setiap peringkat, termasuk aspek penyimpanan dalam tangki, penghantaran serta pengendalian bahan api.
Beliau berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku kecuaian, penyelewengan atau perbuatan sengaja mencemarkan bahan api bagi mendapatkan keuntungan.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan keselamatan serta kepentingan pengguna. Keuntungan perniagaan tidak boleh mengatasi hak rakyat untuk mendapatkan bahan api yang berkualiti dan selamat,” tegasnya.
Dalam pada itu, David mencadangkan supaya satu mekanisme tuntutan pampasan yang lebih jelas disediakan bagi memudahkan pengguna mendapatkan pembelaan sekiranya kerosakan kenderaan mereka terbukti berpunca daripada bahan api tercemar.
Menurutnya, pengguna tidak seharusnya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan ganti rugi, khususnya apabila kerosakan berlaku bukan disebabkan kecuaian mereka.
Pada masa sama, beliau menasihatkan pengguna supaya menyimpan resit setiap kali membuat pembelian petrol sebagai bukti transaksi.
Katanya, sekiranya kenderaan mengalami masalah yang luar biasa selepas mengisi minyak, pengguna disarankan mendapatkan pemeriksaan daripada bengkel, menyimpan laporan kerosakan serta segala dokumen berkaitan kos pembaikan sebelum membuat aduan rasmi kepada KPDN.
“YPNM Sabah tidak mahu kejadian yang dilaporkan berlaku di negeri lain turut berlaku di Sabah. Tindakan pencegahan perlu dibuat sekarang dan bukannya selepas rakyat mengalami kerugian.
“Keselamatan pengguna mesti diberi keutamaan. Setiap liter petrol yang dibeli oleh rakyat perlu memenuhi piawaian kualiti yang telah ditetapkan,” katanya.
David turut menyatakan penghargaan terhadap usaha penguatkuasaan yang dijalankan KPDN dan berharap kerjasama antara pihak berkuasa, pengusaha stesen minyak serta pengguna dapat diteruskan bagi memastikan mutu bahan api yang dijual di Sabah sentiasa terpelihara. – DAKWAT RAKYAT POST
