KOTA KINABALU: Aktiviti air di Pantai B, Pulau Sapi, Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR) diperketatkan susulan penampakan seekor buaya di kawasan berkenaan, Isnin lepas.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Taman-Taman Sabah meningkatkan kawalan dan pemantauan termasuk melaksanakan rondaan bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).
Menurutnya, semua pengusaha aktiviti pelancongan air seperti selam skuba, snorkeling dan sea walking diarahkan melakukan pemeriksaan awal di kawasan aktiviti sebelum membenarkan pelancong memasuki air.
“Pada masa sama, aktiviti berenang dan snorkeling secara bersendirian tidak dibenarkan dan hendaklah dilakukan secara berkumpulan.
“Taman-Taman Sabah turut memasang papan tanda amaran mengenai kehadiran buaya di kawasan berkaitan, manakala hebahan dan peringatan kepada pengunjung diberikan secara berterusan oleh petugas penyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jafry berkata, maklumat mengenai langkah berjaga-jaga dan prosedur keselamatan turut disampaikan kepada semua pemain industri pelancongan yang beroperasi dalam kawasan TTAR.
Katanya, Taman-Taman Sabah bersama JHL kini melaksanakan operasi khas bagi mengesan buaya berkenaan sebelum tindakan pemindahan dapat dilakukan sekiranya ia berjaya dikesan.
“Pukat telah dipasang di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi dan dipantau dengan rapi bagi mengelakkan hidupan marin lain, khususnya penyu, daripada terperangkap.
“Langkah pemantauan dan berjaga-jaga turut dipertingkatkan di kawasan lain dalam TTAR,” katanya.
Beliau berkata, pengunjung diminta sentiasa mematuhi arahan petugas Taman-Taman Sabah dan pengusaha aktiviti air serta segera memaklumkan kepada petugas sekiranya ternampak buaya.
“Kementerian memandang serius perkara ini. Keselamatan pengunjung adalah keutamaan dan saya telah meminta Taman-Taman Sabah serta JHL mengambil segala langkah yang perlu, termasuk meningkatkan pemantauan dan operasi pengesanan di kawasan berkenaan.
“Orang ramai dan pengunjung diminta memberikan kerjasama sepenuhnya serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh petugas,” katanya.
Jafry berkata, situasi berkenaan akan terus dipantau dan langkah sedia ada akan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kepada orang ramai,” katanya
