TAWAU: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes kecurian buah kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Pulau Sebatik, di sini, kurang 24 jam selepas laporan diterima.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi bin Mat Jusoh berkata, laporan berhubung kehilangan buah sawit di sebuah kebun milik lelaki tempatan diterima sebelum tindakan susulan dijalankan.
Beliau berkata, hasil maklumat awam dan siasatan lanjut, anggota Balai Polis Bergosong berjaya menahan suspek di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Limau.
Suspek kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan disiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
Polis turut menasihatkan pemilik kebun dan pengusaha tanaman supaya meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan pertanian serta segera melaporkan sebarang kehilangan atau aktiviti mencurigakan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.-Dakwat Rakyat Post
