KOTA MARUDU: Seorang suami dihukum penjara lapan tahun selepas didapati bersalah mencederakan isterinya dalam kejadian di Kampung Mangkupa, Jalan Popok, di sini, Jun lalu.
Tertuduh, Kanasius Natun, 50, disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kota Marudu, Isnin lalu.
Berdasarkan fakta pertuduhan, Kanasius didakwa mencederakan isterinya, Jorurus Masanting, pada pagi 25 Jun 2026 di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Mangkupa.
Hakim Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan pada 5 Oktober 2026.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadzri Azham Zainudin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung kesalahan jenayah di daerah berkenaan.
Katanya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis.
“PDRM IPD Kota Marudu turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis,” katanya.
