TUARAN: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung penyebaran satu hantaran di Facebook yang didakwa menghina Institusi Diraja.
Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Daerah Tuaran bersama Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, hari ini.
Laporan dibuat Sapra Hj. Rikun, yang mewakili PEKIDA Daerah Tuaran dan PEKIDA Sabah, serta Kefayatullah Bin Hj. Malik Aman bagi pihak PAKAS.
Ia susulan hantaran di laman Facebook Borneo Rights Action Force (BORAF) bertajuk “Saya Nampak Orang Post, Tapi Memang Hebat 🤙🏽” yang turut memaparkan poster bertajuk “SENARAI YANG DI-PERTUAN BABI”.
Menurut laporan polis, poster berkenaan dipercayai memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong pertama hingga ke-17 yang telah disunting dengan menggantikan bahagian kepala setiap Yang di-Pertuan Agong dengan imej kepala seekor babi.
Kedua-dua NGO berkenaan mendakwa penyebaran bahan itu boleh mencetuskan kemarahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat, selain menyentuh isu 3R membabitkan kaum, agama dan Institusi Diraja.
Mereka turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pemilik serta pengendali akaun berkenaan, termasuk pihak yang menghasilkan, memuat naik dan menyebarkan bahan tersebut.
Kefayatullah berkata, perkara itu tidak wajar dipandang ringan kerana membabitkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara serta kedudukan Baginda dalam konteks agama Islam di Malaysia.
“Isu ini merupakan isu yang besar kerana telah menyentuh Yang di-Pertuan Agong yang juga sebagai Ketua Agama Islam di Malaysia.
“Kita desak pihak berwajib supaya menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas agar isu sebegini tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata, kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghasilkan atau menyebarkan kandungan yang didakwa menghina Institusi Diraja serta berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.
Sehubungan itu, PEKIDA dan PAKAS berharap tindakan undang-undang sewajarnya diambil sekiranya hasil siasatan mendapati wujud kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kedua-dua NGO itu turut berharap siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap penyebaran bahan berkenaan.
Laporan tersebut dibuat untuk tindakan dan siasatan lanjut pihak PDRM.-Dakwat Rakyat Post
