KOTA KINABALU: Pesara guru di seluruh Sabah digesa menyertai Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) bagi memperkukuh kebajikan, perpaduan dan sumbangan golongan itu terhadap pembangunan masyarakat serta negeri.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah berkata, PMPS yang ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu menyediakan platform untuk menghimpunkan pesara pendidik agar pengalaman, ilmu dan kepakaran mereka terus dimanfaatkan selepas bersara.
Menurutnya, persatuan itu turut membuka ruang kepada mantan pendidik untuk berkongsi pengalaman, mengeratkan silaturahim serta menyumbang melalui pelbagai aktiviti kebajikan, pendidikan dan pembangunan komuniti.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat lapan wakil kepimpinan tertinggi PMPS yang diketuai Presidennya, Dr. Aslie Hj. Sahat, di pejabatnya di Kompleks Karamunsing, di sini.
Ruddy berkata, pengalaman dan kepakaran pesara guru merupakan aset bernilai yang boleh terus dimanfaatkan untuk membimbing generasi muda serta membantu masyarakat.
“Persaraan bukan bermakna berakhirnya khidmat kepada masyarakat. Sebaliknya, pengalaman yang dimiliki boleh terus dimanfaatkan untuk membimbing generasi muda, membantu komuniti dan menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan kepimpinan PMPS mempergiat usaha menarik lebih ramai pesara guru menyertai persatuan berkenaan, selain memperluas rangkaiannya ke seluruh daerah di Sabah.
Beliau berkata, penyertaan dalam PMPS bukan sahaja membolehkan mantan pendidik membina jaringan persahabatan dan berkongsi pengetahuan, malah berpotensi menjadi saluran untuk menyuarakan pandangan serta kepentingan pesara pendidik secara lebih tersusun.
Menurutnya, persatuan itu juga berpotensi memainkan peranan sebagai rakan masyarakat dalam menyokong pembangunan negeri, khususnya menerusi inisiatif berkaitan modal insan, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan komuniti.
Ruddy turut menyatakan sokongan terhadap usaha pembangunan Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dan berharap PMPS dapat menyelaraskan programnya dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berharap PMPS terus berkembang sebagai persatuan yang inklusif, aktif dan berwibawa dalam menghimpunkan mantan pendidik tanpa mengira daerah tempat mereka pernah berkhidmat.
Turut menyertai kunjungan itu ialah Timbalan Presiden PMPS, Hussin Basir, Naib Presiden, Datuk Dr. Julkiflu Sukur, Setiausaha Agung, Alli Majittaba, Penolong Setiausaha Agung, Dr. Kassim Buntak, Bendahari Agung, Hj. Shahrizan Abdullah serta beberapa ahli jawatankuasa tertinggi persatuan.-DAKWAT RAKYAT POST
