QUEZON CITY, FILIPINA: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Filipina dalam operasi membanteras perdagangan produk perasa makanan tiruan di Barangay Baesa, Quezon City, pada 12 November lalu.
Dalam operasi itu, anggota Unit Lapangan Wilayah Ibu Negara Kumpulan Siasatan dan Pengesanan Jenayah (CIDG), Polis Negara Filipina (PNP), dengan kerjasama wakil Nestlé Philippines, turut merampas sebanyak 350 kotak produk perasa makanan yang disyaki tiruan serta melanggar hak cap dagangan.
Keseluruhan barangan rampasan dianggarkan bernilai 1.34 juta peso bersamaan kira-kira RM85,617.
Suspek dipercayai menjalankan aktiviti penjualan dan perdagangan produk berkenaan tanpa kebenaran pemilik sah cap dagangan.
Perbuatannya disiasat mengikut Seksyen 155 dibaca bersama Seksyen 170 Akta Republik 8293 atau Kod Harta Intelek Filipina.
Ketua Polis Negara Filipina, PGEN Jose Melencio C. Nartatez Jr. berkata, pihaknya akan terus mengambil tindakan terhadap kegiatan pengedaran barangan tiruan bagi melindungi pengguna serta mempertahankan hak perniagaan yang sah.
Beliau menegaskan produk tiruan bukan sahaja menjejaskan perniagaan yang sah, malah turut menghakis keyakinan pengguna terhadap sesuatu jenama.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada agenda fokus PNP, khususnya menerusi strategi Enhanced Managing Police Operations (EMPO), bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap pelanggaran hak harta intelek dan pengedaran barangan tiruan.- DAKWAT RAKYAT POST.
