PAPAR: Tawaran program pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau dicadangkan supaya dikaji semula berdasarkan keperluan semasa bagi meningkatkan jumlah kemasukan pelajar serta memastikan kampus berkenaan terus beroperasi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung pelaksanaan proses rasionalisasi UiTM yang turut melibatkan Kampus Tawau.
Menurutnya, perbincangan bersama Kerajaan Negeri Sabah juga boleh dilaksanakan bagi mencari kaedah terbaik untuk menarik lebih ramai pelajar, termasuk mengenal pasti bidang pengajian yang bersesuaian untuk ditawarkan di kampus berkenaan.
Beliau berpandangan usaha rasionalisasi UiTM tidak seharusnya berakhir dengan penutupan Kampus Tawau memandangkan institusi itu mempunyai peranan penting dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat di Pantai Timur Sabah.
Katanya, kepentingan kampus berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya berpandukan jumlah pelajar yang sedang mengikuti pengajian ketika ini.
Sebaliknya, aspek tanggungjawab sosial kerajaan dalam menyediakan kemudahan pendidikan tinggi kepada penduduk di kawasan berkenaan juga perlu diambil kira.
Armizan berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis penutupan program anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Sekolah Menengah Kebangsaan Penggalat, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kos yang perlu ditanggung pelajar dari Sabah sekiranya melanjutkan pengajian ke Kota Kinabalu atau Semenanjung Malaysia wajar diberikan perhatian dalam sebarang pertimbangan berkaitan masa depan kampus itu.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara semua pihak dapat membantu memastikan UiTM Kampus Tawau terus beroperasi sebagai salah satu institusi yang menyediakan peluang melanjutkan pengajian tinggi kepada penduduk Pantai Timur Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 11 November lalu memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa proses rasionalisasi UiTM tidak akan melibatkan penutupan mana-mana kampus.
Beliau menjelaskan bahawa kajian menyeluruh sedang dilaksanakan terhadap semua kampus UiTM dengan mengambil kira beberapa aspek, termasuk jumlah enrolmen pelajar, kemudahan sedia ada serta penawaran program pengajian. – DAKWAT RAKYAT POST
