KUALA LUMPUR, 15 November 2026 – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di seluruh negara sehingga jam 6 petang ini.
Menurut makluman METMalaysia menerusi Facebook Malaysia Meteorological Department, amaran yang dikeluarkan pada jam 1.30 tengah hari itu melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Melaka. Di Sarawak, kawasan terlibat ialah Kuching, Samarahan, Betong, Sibu, Mukah, Kapit, Sarikei dan Serian, manakala di Sabah membabitkan Kudat, Pantai Barat, Pedalaman serta Tawau.
Bagi negeri Sabah, kawasan yang dijangka mengalami cuaca buruk meliputi Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Papar di Pantai Barat, selain Tambunan dan Pensiangan di kawasan Pedalaman serta Kudat dan Tawau.
Sementara itu, di Sarawak, amaran berkenaan melibatkan Kuching, Asajaya, Sebuyau dan Samarahan; Pusa, Kabong dan Saratok di Betong; Sibu, Tanjung Manis di Mukah, Song di Kapit, Sarikei serta Siburan di Serian.
Di Semenanjung Malaysia, amaran turut merangkumi seluruh Perlis, manakala di Kedah melibatkan Langkawi, Yan, Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu, Sik, Padang Terap, Baling dan Pokok Sena.
Pulau Pinang turut membabitkan kawasan Timor Laut dan Barat Daya, manakala di Perak meliputi Muallim, Bagan Datuk, Perak Tengah dan Hilir Perak.
Di Negeri Sembilan, kawasan yang terlibat ialah Rembau, Port Dickson, Seremban, Jelebu dan Kuala Pilah, sementara di Melaka membabitkan Alor Gajah.
METMalaysia menjelaskan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat petunjuk berlakunya hujan dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam, sama ada sedang berlaku atau dijangka berlaku dalam tempoh melebihi satu jam.
Orang ramai perlu mengambil perhatian bahawa amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang hanya sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan yang disenaraikan dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh amaran berkuat kuasa.
Amaran berkenaan dikeluarkan METMalaysia pada jam 1.30 tengah hari, Ahad, 15 November 2026, dan dijangka berkuat kuasa sehingga jam 6 petang. – DAKWAT RAKYAT POST
