KOTA KINABALU: Polis merampas pelbagai produk makanan, kesihatan dan kosmetik yang dipercayai tidak mematuhi keperluan perundangan dengan nilai keseluruhan RM675,112 menerusi tiga siri serbuan di sekitar bandar raya ini dan Putatan, bulan lalu.
Rampasan menerusi Op Taring Alpha 5 itu membabitkan tiga premis di Centre Point Sabah, Inanam dan Putatan dalam operasi pada 22 dan 23 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan pertama di Centre Point Sabah pada 22 Oktober membawa kepada rampasan 577 produk makanan proses dan sejuk beku serta 251 produk kesihatan dan kosmetik yang dipercayai berasal dari Filipina.
Katanya, keseluruhan rampasan dalam operasi berkenaan dianggarkan bernilai RM262,800.
“Pada hari sama, serbuan di Inanam pula membawa kepada rampasan 526 paket produk makanan sejuk beku serta 313 unit produk kesihatan dan kosmetik dengan nilai RM192,312.
“Operasi ketiga di Putatan pada 23 Oktober berjaya merampas pelbagai produk makanan proses bernilai RM220,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Mess Pegawai Ibu Pejabat Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut, di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam operasi di Putatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) merampas 2,007 produk makanan proses, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 14,000 paket pelbagai produk makanan proses.
Mohd Yusri berkata, siasatan awal mendapati premis yang diserbu dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara, penjualan dan pengedaran produk berkenaan.
Katanya, bekalan bagi beberapa premis dipercayai diperoleh daripada pembekal tempatan dan luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan.
Beliau berkata, semua barangan rampasan diserahkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan, khususnya KKM dan DVS, untuk pemeriksaan, pengesahan, analisis serta tindakan lanjut.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman dengan kerjasama beberapa agensi termasuk polis daerah, Pasukan Polis Marin (PPM), KKM, DVS dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Katanya, polis akan terus mempergiat risikan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyimpanan serta pengedaran barangan yang menyalahi undang-undang.-DAKWAT RAKYAT POST
