OLEH : NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Lapan pelajar lelaki diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 60 jam dalam tempoh enam bulan oleh Mahkamah Kanak-Kanak Tawau, hari ini, atas pertuduhan bergaduh dan merusuh di hadapan sebuah sekolah menengah di Batu 5, Jalan Apas, Julai lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin turut memerintahkan kesemua pelajar berusia 14 tahun itu tidak keluar dari daerah Tawau dalam tempoh dua bulan.
Perintah berkenaan dikeluarkan dengan mengambil kira kesemua pelajar tingkatan dua itu masih bersekolah dan masa depan pelajar terbabit.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka menjalankan perhimpunan dengan bergaduh dan merusuh di hadapan sebuah sekolah di Batu 5, Jalan Apas, kira-kira jam 11 pagi, 10 Julai lalu.
Kesemua tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Jhasarry P. Kang.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat berhubung satu rakaman video berdurasi 27 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar sebuah sekolah menengah dengan seorang lelaki awam yang menggunakan topi keledar sebagai senjata.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Gambar dan video berkenaan dipercayai disunting menggunakan wajah dua individu sebelum dikatakan tersebar di media sosial.
Kesemua tertuduh sebelum ini mengaku bersalah pada 12 Ogos lalu, namun mahkamah menangguhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).-DRP
