LUMUT: Cubaan sebuah bot nelayan tempatan (VNT) Kelas C beroperasi di kawasan larangan membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama empat kru warga Thailand di perairan Perak, Khamis lalu.
Bot berkenaan dikesan menjalankan aktiviti perikanan secara mencurigakan sebelum ditahan kira-kira jam 9 pagi, pada kedudukan 10 batu nautika barat laut Pulau Talang, Perak.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, penahanan dilakukan menerusi rondaan penguatkuasaan Op Sayong, Op Pintas dan Op Tiris 4.0 kira-kira jam 8.40 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong bersama tiga kru, kesemuanya warga Thailand berusia antara 31 hingga 61 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel terbabit disyaki melanggar syarat sah lesen apabila beroperasi kurang daripada had 15 batu nautika dari daratan terhampir.
“Kesalahan itu dipercayai dilakukan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bot bersama semua kru kemudian diiring ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Katanya, pematuhan syarat lesen vesel perikanan penting bagi memastikan aktiviti menangkap ikan dijalankan secara terkawal selain mengelakkan pencerobohan kawasan operasi yang boleh menjejaskan kelestarian sumber perikanan negara.
Zainudin berkata, Maritim Malaysia turut memberi amaran akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang maritim dipatuhi serta kepentingan nelayan tempatan dilindungi.
“Orang ramai, khususnya komuniti maritim, diminta menyalurkan maklumat berhubung aktiviti mencurigakan atau pelanggaran undang-undang di laut menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737,” katanya. -DRP
