KUALA LUMPUR: Sekumpulan individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kabel di hadapan TREC, Jalan Tun Razak, di sini, sedang dikesan polis selepas perbuatan mereka dirakam dan tular di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil bin Hj. Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 21 November 2026, kira-kira jam 9.50 pagi, susulan penularan satu hantaran di platform Threads.
Menurutnya, video berdurasi 38 saat itu memaparkan sekumpulan individu menggunakan dua buah kenderaan untuk melakukan kerja memotong kabel pada waktu siang.
Bagaimanapun, kesemua individu terbabit dipercayai melarikan diri selepas dihampiri orang awam.
Beliau berkata, polis kini giat menjalankan usaha mengesan semua suspek yang terlibat bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222.
Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran.
Polis turut menasihatkan masyarakat supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang kegiatan jenayah.-DRP
