KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden gangguan bekalan elektrik di sebuah hospital di Sabah yang dilaporkan menyebabkan doktor menggunakan lampu suluh telefon bimbit ketika menjahit pesakit.
Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah turut menggesa sistem bekalan kuasa kecemasan di hospital kerajaan diperkukuh, termasuk pemasangan atau naik taraf sistem bateri sandaran bagi memastikan bekalan elektrik tidak terputus ketika prosedur perubatan kritikal.
Pengerusinya, David Chan berkata, kejadian yang dilaporkan The Star pada 17 November lalu menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan pesakit serta kebolehpercayaan infrastruktur elektrik hospital.
Menurutnya, gangguan bekalan elektrik ketika pembedahan atau rawatan kecemasan boleh mendedahkan pesakit kepada risiko serius sekiranya sistem kuasa sokongan gagal berfungsi.
Sehubungan itu, beliau meminta KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menyiasat punca kejadian serta memastikan generator kecemasan dan sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) di hospital terbabit beroperasi dengan baik.
Katanya, hospital khususnya bilik bedah, unit rawatan rapi dan jabatan kecemasan perlu mempunyai sistem bekalan kuasa sandaran yang mampu berfungsi serta-merta apabila berlaku gangguan bekalan utama.
“Generator diesel sokongan sahaja mungkin tidak mencukupi. Hospital juga perlu mempunyai sistem bateri UPS yang direka dengan baik dan mampu membekalkan elektrik serta-merta ketika berlaku gangguan bekalan.
“Ini bagi memastikan peralatan perubatan penting, lampu bilik bedah dan sistem sokongan hayat terus berfungsi tanpa gangguan,” katanya dalam kenyataan.
Chan turut mencadangkan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas bagi pemasangan atau naik taraf Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dan UPS di hospital kerajaan seluruh Sabah, terutama fasiliti yang kerap berdepan gangguan bekalan elektrik.
Menurutnya, teknologi BESS mampu menyediakan kapasiti simpanan tenaga tambahan bagi meningkatkan daya tahan bekalan elektrik, manakala UPS berfungsi membekalkan kuasa serta-merta sementara menunggu generator atau sumber sandaran lain beroperasi.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua sistem berkenaan perlu melengkapi generator kecemasan sedia ada dan bukannya menggantikannya tanpa penilaian kejuruteraan yang sewajarnya.
Beliau turut menggesa audit teknikal menyeluruh dilaksanakan terhadap sistem bekalan kuasa kecemasan di semua hospital kerajaan Sabah, termasuk pemeriksaan generator, keadaan bateri UPS, suis pemindahan automatik serta lampu kecemasan.
Katanya, cabaran geografi dan keadaan bekalan elektrik di Sabah memerlukan perhatian khusus bagi memastikan infrastruktur hospital sentiasa berfungsi dengan baik.
Chan turut memuji dedikasi petugas kesihatan yang terus memberikan rawatan kepada pesakit walaupun berdepan keadaan mencabar, namun menegaskan mereka tidak sepatutnya terpaksa bergantung kepada lampu suluh telefon bimbit ketika menjalankan prosedur perubatan.
YPNM berharap KKM dapat memberikan penjelasan secara telus mengenai insiden itu serta mengumumkan langkah pembetulan konkrit bagi mengelakkan kejadian sama berulang, dengan keselamatan pesakit kekal sebagai keutamaan.-DRP
