LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot pukat tunda di perairan Tanjung Bangkuruan pada Selasa selepas didapati melanggar syarat lesen.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu,Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata bot tersebut dikesan pada kira-kira jam 1.30 tengah hari, kira-kira 0.9 batu nautika timur Tanjung Bangkuruan ketika operasi Op Pluto Timur dan Op Tiris dijalankan.
Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong warga Filipina berusia 37 tahun bersama tiga kru berusia antara 23 hingga 36 tahun.
Siasatan lanjut mendapati bot tersebut melanggar Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang daripada 1.5 batu nautika dari pantai.
Bot, dan kru serta hasil tangkapan dibawa ke jeti Maritim Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.
Dzulfikhar berkata Maritim Malaysia komited memastikan setiap aktiviti perikanan mematuhi undang-undang sedia ada.
“Tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang akan dikenakan bagi melindungi sumber marin negara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan jenayah serta kecemasan maritim boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Lahad Datu melalui WhatsApp di 016-9305727 atau talian MERS 999.
— Tamat —
