Haji M.Ridzal
Kematian seorang pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Papar telah membuka perbincangan penting mengenai ketelusan siasatan, integriti institusi dan keperluan memperkukuh mekanisme perlindungan pelajar di Sabah. Walaupun kes ini kini berada dalam proses kehakiman melalui prosiding inkues dan pendakwaan di mahkamah, peristiwa ini sewajarnya dijadikan pengajaran tentang keperluan memperkemas Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam siasatan kes melibatkan kematian mencurigakan. Ketidakpatuhan terhadap prosedur awal serta kegagalan pengurusan bukti yang dilaporkan telah mencetuskan kegelisahan awam, sekali gus menonjolkan keperluan pembaharuan institusi secara menyeluruh.
Namun, dalam menilai perjalanan kes ini, semua pihak harus sedar bahawa proses mahkamah mesti diberikan ruang untuk berjalan tanpa gangguan, tanpa tekanan politik dan tanpa spekulasi yang boleh mencemarkan integriti prosiding. Menggunakan kes ini sebagai modal politik PRN Sabah adalah tindakan yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi turut menjejaskan prinsip keadilan yang sedang ditegakkan oleh badan kehakiman. Perkara 125 dan 145 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pemisahan kuasa antara badan kehakiman dan eksekutif, dan sebarang percubaan menjadikan kes ini sebagai senjata politik bercanggah dengan semangat perlembagaan yang menuntut proses pengadilan bebas daripada pengaruh luar.
Kerajaan negeri dan institusi penguatkuasaan pula perlu mengambil iktibar daripada kelemahan yang telah didedahkan, termasuk keperluan memperkukuh tatakelola dalaman, memperbaiki komunikasi krisis dan mempercepat reformasi prosedur penyiasatan. Intervensi Bukit Aman, prosiding inkues oleh Mahkamah Koroner serta tindakan tatatertib ke atas pegawai terlibat menunjukkan bahawa sistem institusi masih mampu membetulkan kelemahan apabila ditekan oleh keperluan keadilan dan ketelusan. Tanggungjawab kini terletak pada kerajaan negeri untuk memastikan kegagalan yang berlaku tidak berulang melalui penambahbaikan dasar, latihan dan pengawasan yang lebih rapi.
Akhirnya, kes ini mengingatkan kita bahawa agenda utama bukanlah mencari pihak untuk dipersalahkan mengikut lensa politik, tetapi memastikan sistem keadilan negara berjalan dengan sempurna, keluarga mangsa mendapat kebenaran, dan masyarakat memperoleh keyakinan semula terhadap institusi negara. Hormat kepada perlembagaan, penghormatan kepada mahkamah serta komitmen kepada keadilan mesti menjadi prinsip bersama. Dalam suasana politik yang semakin tegang menjelang PRN Sabah, semua pihak wajar mengelakkan eksploitasi kes ini demi kepentingan politik dan sebaliknya membiarkan fakta, bukti serta undang-undang menentukan kebenaran.
