LAHAD DATU: Dua lelaki warga asing ditahan, empat buah motosikal disita dan 13 saman dikeluarkan dalam Operasi Motosikal Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Lahad Datu bersama beberapa unit sokongan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta menunggang motosikal tanpa lesen.
Menurutnya, dalam operasi sama, empat buah motosikal turut ditahan dan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Operasi yang diketuai Ketua BSPT IPD Lahad Datu, Insp Mohd Riduan Mohd Abdullah @ Mustaffa itu memberi tumpuan di sekitar Pusat Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Centre serta Jalan Lahad Datu–Sandakan Tawau.
Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan serta mengurangkan kesalahan trafik yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti tidak bermoral, dan operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan diminta menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881255.
