LAHAD DATU – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyifatkan tindakan pelukis satira, Fahmi Reza, yang menghasilkan karya berunsur penghinaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai perbuatan keterlaluan, melampau dan tidak beradab.
Menurutnya, karya yang disebarkan secara terbuka di media sosial itu jelas bertujuan memburukkan imej dan menjatuhkan maruah Presiden UMNO serta cuba memanipulasi persepsi rakyat terhadap seorang pemimpin negara.
Katanya, kebebasan berkarya bukan alasan untuk menghina, memperlekeh atau memfitnah mana-mana individu, apatah lagi seorang pemimpin yang sedang memikul amanah besar terhadap parti dan rakyat.
“Perbuatan sebegini bukan sahaja biadab, malah mampu menyemai kebencian serta mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan masyarakat. Budaya mempermainkan maruah pemimpin secara terbuka tidak sepatutnya diterima sebagai norma,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa jika wujud ketidakpuasan hati, ia perlu disalurkan melalui cara yang berhemah dan bertanggungjawab, bukannya melalui karya yang direka khas untuk merendahkan maruah seseorang.
Sharif Musa turut menegaskan bahawa Malaysia adalah negara yang mempunyai undang-undang dan ruang demokrasi yang sihat, bukannya medan untuk propaganda kebencian sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pemimpin.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terbukti berlaku pelanggaran undang-undang.
“Kita tidak boleh membiarkan budaya penghinaan politik ini menular sehingga merosakkan keharmonian rakyat dan kestabilan negara,” tegasnya.
