TAWAU: Dugaan bertimpa buat seorang suri rumah apabila suami tercinta pergi menghadap Ilahi akibat kemalangan jalan raya, namun bantuan Skim Insurans Rakyat Sabah berjumlah RM10,500 sedikit sebanyak menjadi sinar yang menyinari hari-hari gelap dilaluinya.
Bagi Siti Aida Sofyan, 32, kehilangan suaminya, Mohd Nasarudin, 30, pada 30 Oktober lalu bukan sahaja meragut tempat bergantung, malah meninggalkan tanggungjawab besar sebagai ibu kepada tiga anak kecil dalam keadaan beliau sedang hamil anak keempat.
Dalam linangan air mata, Siti Aida meluahkan rasa syukur apabila menerima bantuan berkenaan yang disifatkan sebagai penyelamat untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak berusia tiga, lima dan lapan tahun.
“Sejujurnya saya tidak pernah ada insurans, apatah lagi membayar premium. Tapi apabila dimaklumkan layak menerima bantuan ini, saya rasa sangat terharu.
“Ia benar-benar membantu, lebih-lebih lagi untuk persediaan bersalin Februari ini,” katanya yang dijangka melahirkan anak pada 22 Februari depan.
Katanya, hidup sebagai ibu tunggal bukan sesuatu yang mudah, namun keprihatinan kerajaan negeri sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung sendirian selepas pemergian suami.
“Saya reda dengan ketentuan Allah, tetapi bantuan ini memberi kekuatan untuk terus bangkit demi anak-anak,” katanya sayu.
Siti Aida turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang prihatin memaklumkan kelayakannya menerima bantuan berkenaan.
Sementara itu, Nizam berkata, Skim Insurans Rakyat Sabah adalah inisiatif kerajaan negeri menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya mereka yang tidak mempunyai sebarang perlindungan insurans.
“Skim ini menyediakan perlindungan sehingga RM10,000 bagi kes kemalangan serta RM500 khairat kematian.
“Ia bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi tanda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang ditimpa musibah,” katanya.
Beliau berkata, skim itu dilaksanakan bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028 dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah berusia antara satu bulan hingga 80 tahun.
Menurutnya, bantuan diterima Siti Aida diharap dapat meringankan urusan beliau menjelang kelahiran anak keempat, selain mencerminkan komitmen pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.
