TAWAU: Usaha memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia wajar dipergiat, khususnya melibatkan kawasan sempadan seperti Tawau serta wilayah Nunukan dan Kalimantan Utara.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Tawau merangkap wakil Biro Pelaburan parti itu, Fung TY, berkata potensi ekonomi di kawasan sempadan amat besar namun masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh kedua-dua negara.
Menurut beliau, kedudukan strategik Tawau yang berhampiran dengan wilayah Indonesia seperti Nunukan dan Tarakan membuka peluang luas dalam sektor perdagangan, pelaburan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Hubungan dua hala ini bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada usahawan tempatan, malah berpotensi merancakkan ekonomi rakyat di kedua-dua negara sekiranya dirancang secara lebih tersusun, inklusif dan agresif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu pertemuan bersama wartawan serta usahawan dari Nunukan dan Tarakan di sebuah kafe di Tawau, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fung turut menggesa agar lebih banyak platform kerjasama diwujudkan, termasuk penganjuran forum ekonomi, ekspo perdagangan serta jaringan perniagaan rentas sempadan bagi memperkukuh hubungan antara komuniti perniagaan Malaysia dan Indonesia.
Usaha berterusan ini dilihat mampu menjadikan kawasan sempadan sebagai hab ekonomi baharu yang lebih dinamik, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada masyarakat setempat di kedua-dua negara.
