LAHAD DATU: Polis menahan dua lelaki selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 5.28 gram dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan tersebut dibuat hasil maklumat awam serta tindakan pantas pasukan polis ketika melaksanakan operasi pencegahan jenayah di sekitar daerah ini.
“Pemeriksaan awal ke atas seorang daripada suspek menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu, selain beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk pengambilan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
