SEMPORNA: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini, susulan satu laporan kehilangan kenderaan yang dibuat awal Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 2 Januari 2026 apabila seorang lelaki meletakkan motosikal miliknya di hadapan sebuah hotel di sekitar Pekan Semporna.
“Bagaimanapun, sebaik mangsa kembali untuk mengambil motosikal tersebut, kenderaan berkenaan didapati telah hilang dan dipercayai dicuri sebelum laporan polis dibuat pada hari yang sama di Balai Polis Semporna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dalam satu operasi pada 1 Februari 2026 kira-kira jam 1.20 petang di kawasan bebas Kampung Bangau-Bangau, Semporna.
“Hasil semakan mendapati suspek merupakan warga tempatan dan mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah,” jelasnya.
Dalam operasi sama, polis turut merampas sebuah motosikal serta sepasang sport rim motosikal berwarna putih yang dipercayai ada kaitan dengan kes kecurian berkenaan.
Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun, serta boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, Superintenden Polis Tan Hiap Wah menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan mengunci kenderaan atau motosikal setiap kali meninggalkannya, walaupun untuk tempoh singkat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah digesa supaya segera menyalurkannya kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil,” katanya.
